Friday, March 17, 2006

Buku Cerita: Pemikiran Lapuk Malaysia

Berkenaan buku cerita, kita mempunyai mentaliti mundur sekali! Baik sebagai penerbit mahupun sebagai penulis, kita mundur, kita ketinggalan zaman, kita bersalah terhadap remaja!


Dunia buku Melayu mahukan karya yang mempunyai peminat seperti komposisi para peminat Tom Clancy dan John Grisham, yang diminati baik oleh remaja awal mahupun dewasa. Karya-karya mereka dibaca oleh kanak-kanak serendah 10 tahun!


Tetapi penulis-penulis Malaysia masih berpegang kepada keyakinan salah, kononnya pembaca remaja adalah pembaca bodoh, yakni lebih bodoh daripada golongan dewasa, oleh itu remaja memerlukan buku-buku yang sesuai dengan kebodohan mereka. (Dengan maaf), mentaliti seperti ini lebih membarah di kalangan para penulis dan editor perempuan.


Dari sudut pandang teori sastera Islam sendiri, tidak ada 'Ini cerita untuk remaja' dan 'Ini cerita untuk dewasa'. Cerita-cerita dalam Quran ditujukan kepada semua peringkat umur. Satu cerita untuk semua. Surah Yusuf ditujukan kepada baik remaja mahupun dewasa. Jadi, pemikiran yang mengatakan bahawa buku cerita untuk remaja lain, buku cerita untuk dewasa lain, adalah ditolak oleh teori sastera Islam mazhab surah Yusuf.


Dua orang penulis fiksyen yang paling banyak dibaca oleh remaja Amerika adalah Tom Clancy dan John Grisham. Hanya karya mereka berdua yang pernah dicetak pertama kali sebanyak 2 juta naskhah.


Walaupun buku-buku Tom Clancy dan John Grisham popular di kalangan pembaca remaja, sebenarnya karya mereka ditulis dan dipakejkan untuk dewasa.


Novel-novel Tom Clancy adalah thriller politik, menceritakan secara detail teknik-teknik perisikan, espionaj, dan sains ketenteraan dalam era Perang Dingin Amerika-Soviet, dengan plot yang sangat kompleks. Banyak novelnya sudah diterbitkan sebagai filem dan computer games yang amat popular. (Kebetulan, selepas peristiwa September 11, beliau muncul dalam suatu program TV lalu memeranjatkan masyarakat Amerika apabila beliau membela Islam.) Beliau adalah lulusan sastera Inggeris.


John Grisham adalah penulis Amerika yang paling laris, mengalahkan Tom Clancy. Beliau menulis novel-novel bidang kepeguaman dan undang-undang dengan segala macam skandal yang berlaku dalam proses perbicaraan kriminal, secara yang amat profesional. Novel-novel beliau sudah diterbitkan sebagai filem. Beliau adalah seorang peguam.


Mari kita bertaubat! Zaman 'Ini buku remaja' dan 'Ini buku dewasa' sudah berakhir. Remaja dan dewasa membaca buku-buku cerita yang sama.





6 Komen :

At 8:39 AM, Blogger Eyman Hykal Berkata ...

Puan Ainon,
Betul sangat-sangat. Membaca santapan minda. Makanan santapan perut. Budak kecil hingga dewasa boleh makan nasi. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh makan kentang lecek. Orang dewasa boleh baca cerita Pak Pandir seperti kanak-kanak. Kanak-kanak boleh faham dan suka CSI di TV! Samada santapan minda atau santapan perut, kategori ikut usia tak perlu ada.

 
At 3:07 PM, Blogger abdullahjones Berkata ...

setuju.

 
At 4:53 PM, Blogger aishh Berkata ...

This comment has been removed by a blog administrator.

 
At 4:55 PM, Blogger aishh Berkata ...

Betul sekali apa yang Puan Ainon suarakan. Antara novel popular dan novel sastera tanahair sendiri pun kita lihat betapa berbezanya darjat kedua genre ini dari segi memanipulasi minda remaja. Novel popular cinta sedar tidak sedar selalu menjatuhkan imej seorang perempuan (kononnya heroin) yang biasanya digambarkan sebagai sejenis manusia (cantik) yang hanya ghairah pada ketampanan seorang lelaki yang baru balik dari luar negara / kaya, di mana senarionya perempuan tersebut ditempatkan dikalangan yang tidak begitu berpelajaran atau kekampungan. Halangan dalam cerita ini biasanya ketidak-samaan taraf kedua insan ini dan penghujung cerita berakhir gembira dimana perempuan dan lelaki itu disatukan. Cerita seperti ini biasanya diminati oleh remaja perempuan yang suka berkhayal untuk bercinta dengan lelaki tampan / kaya. Sebab itu remaja-remaja yang tidak sedar minda mereka dimanipulasi ini ketagih cerita seperti ini, hanya untuk santapan angan-angan mereka yang mungkin tidak kesampaian di hidup nyata. Jadi remaja yang semakin lena dengan angan-angan bodoh ini menjadi semakin bodoh manakala pemanipulasi mereka ketawa riang dengan pembodohan yang telah dilakukan secara terang-terangan itu. Maksud "bacaan ringan" pun tidaklah sampai memundurkan pemikiran remaja hinggakan mereka terus berada di tahap berkhayal sahaja tanpa memberi sebarang peningkatan ilmu.

 
At 9:22 AM, Blogger Fakrul Berkata ...

Puan,
Saya sokong pandangan puan itu.Seratus peratus! Kita perlukan Tom Clancy dan John Grisham Malaysia. Para pembaca kita mahukan kelainan dalam pilihan bahan bacaan mereka yang ada dalam pasaran. Dalam hal ini, saya juga menyokong memang terlalu banyak novel popular 'genre' romantis yang kualitinya yg dianggap rendah.
Namun demikian, kita juga tidak boleh membuat andaian yang berupa 'sweeping statement'. Bukan semua novel popular yang bertema cinta itu 'stereotype'. Ramai penulis novel popular yang ada pelajaran dan pengalaman, dan mereka tidak menghasilkan produk yang menunjukkan mentaliti yg rendah. Ramai pembaca yg membaca novel 'romantis'ini sekadar mahu relakskan minda. Takkan salah pula? Kalau di Barat, jualan novel2 cinta 'Mills and Boon', Barbara Cartland, Judith McNaught, Sandra Brown, juga jualannya mencecah jutaan dan menjadi kegemaran para pembaca perempuan, kita tidak melihat sebagai kesalahan, kenapa di sini kita tidak boleh terima?
Sebenarnya, apa yg mahu kita lihat berlaku di sini ialah adanya lebih ramai penulis yang bermutu menulis juga novel-novel genre lain daripada romantis. Malangnya, budaya itu belum ada. kalau ada sekali pun, tidak kelihatan. Sungguhpun novel2 cinta itu dianggap 'rendah martabatnya' oleh sebahagian orang-orang dunia penerbitan, kita jangan lupa bahawa tanpa novel2 popular yang kita anggap bodoh dan rendah mentaliti ini di kedai2 buku, terutama kedai besar, bertambah ramailah remaja kita yg hanya membaca majalah2 seperti URTV, Hai, Mangga, Mingguan Wanita...entah apa2 lagi, yg hanya memaparkan cerita2 bodoh dan gosip penghibur/dunia selebriti. Lebih ramai lagi remaja kita yg akan melepak di tepi2 jalan menambahkan maksiat, duduk di depan tv menonton program hiburan seperti Jom Heboh, menekan butang menghantar SMS untuk memperkayakan pihak tv dengan program yg langsung tak ada faedahnya.
Jangan lupa, banyak novel popular mengingatkan pembaca kepada TUHANnya, memberi motivasi kepada pembaca untuk berjaya dalam dunia dan akhirat.
Kita ini, ramai yg seperti penyokong permainan bola sepak. Ramai yg menjerit dan bersorak dan marah2 kepada pemain. Kalau di suruh turun ke padang, jangankan boleh masukkan gol, nak menggentel bola pun tak tahu.
Tak guna kita berkata itu dan ini, kalau penulis yang berkualiti seperti Tom Clancy dan John Grisham itu tidak ada. Sekarang ini, kalau ada satu dua penulis yang cuba menulis genre seperti itu, logiknya boleh dipertikaikan.
Takkan kita mahu biarkan pembaca terus menerus membaca novel-novel 'orang putih'? Apakah itu lebih baik untuk kita?
Saya selalu tertunggu2 hasil penulisan daripada golongan yg dikatakan 'literary' Melayu yg mampu menghasilkan produk seperti penulis2 barat seperti John Grisham, hatta Dan Brown sekali. Mana dia?

 
At 8:50 AM, Blogger Eyman Hykal Berkata ...

Kita ada seorang! RAMLEE AWANG MURSHID. Belum sampai lagi ke tahap Stephen King, tapi tidak mempersenda keintelektualan pembacanya.Carilah tulisannya.

 

Post a Comment

<< Home