Nura: "Cikgu Zaleha"
“Cikgu sudah sampai?” tanya Ruzaihan kepada rakan sekelasnya, suaranya antara dengar dengan tidak.
“Belum,” balas Khairul Anuar.
Ruzaihan mencari sesuatu di dalam begnya. Sebuah buku diletakkan di atas meja. Nanti apabila masuk sahaja cikgu yang mengajar mata pelajaran kimia itu dia mahu menggunakan buku itu sebagai perisai.
“Hari ini kita dapat cikgu kimia baru,” bisik Khairul Anuar.
“Ya? Walau siapa pun cikgu itu, saya tetap benci dengan pelajaran kimia!” Ruzaihan menceceh sambil menggosok-gosok matanya yang berair kerana baharu lepas menguap. Kimia, adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling dimusuhinya.
“Jangan hendak berlagak. Awak belum pernah melihat dia,” giat Khairul Anuar sambil tersengih. “Sekali awak sudah lihat dia...” sengaja Khairul Anuar tidak menghabiskan ayatnya. Biar kawannya itu tertanya-tanya. Hakikat yang sebenarnya dia sendiri pun belum pernah melihat wajah guru barunya itu.
“Apa yang istimewa sangat?” malas sahaja nada suara Ruzaihan. Kepalanya telah lama terlentok di atas meja. Hanya kelopak mata sahaja yang belum terkatup.
“Nanti awak tengoklah sendiri.”
Ruzaihan memanjangkan leher ke luar kelas apabila telinganya menangkap bunyi keletup, keletap sepatu Cikgu Kamaluddin yang terkenal itu.
“Bangun!” ketua kelas memberi arahan agar warga kelas tingkatan 5 itu memberi penghormatan kepada Cikgu Kamaluddin yang baru masuk. “Selamat tengah hari, cikgu.”
“Selamat tengah hari, cikgu,” serentak semua pelajar-pelajar tingkatan 5 itu menyambut.
“Tengah hari,” balas Cikgu Kamaluddin ringkas. “Hari ini saya tidak mengajar, saya hanya mahu memperkenalkan kamu dengan cikgu baru. Sebentar lagi dia akan sampai,” tokoknya lagi.
Kepala Ruzaihan tegak. Kebiasaannya sebaik sahaja cikgu yang terkenal dengan gelaran Kamaluddin Tomoi itu mula membuka mulut dia pasti akan menegakkan bukunya di betul-betul di depan mukanya sebagai perisai bagi menyembunyikan kepalanya yang sedang terjelepak di atas meja!
“Assalamualaikum,” satu suara halus memberi salam di muka pintu. Serentak dengan itu sebuah wajah tersembul bersama sebuah senyuman.
“Waalaikummussalam,” semua yang berada di dalam kelas itu membalas salam itu. Setiap biji mata merenung yang empunya suara.
“Hmm...” gumam Ruzaihan. Bulat matanya merenung wajah tinggi lampai itu.
“Sudahlah!” Khairul Anuar menyiku rakannya itu. “Macam hendak terkeluar biji mata awak!” dia menyakat sambil mengulum senyum.
Mata yang tadi hampir terkatup serta-merta terbuka luas. Ruzaihan terpaku seketika menikmati wajah putih bersih itu. “Cantiknya!” kalbunya berbisik.
“Cikgu Zaleha adalah guru baru kamu dalam mata pelajaran kimia. Saya harap kamu semua memberikan kerjasama kepada beliau,” kata Cikgu Kamaluddin.
“Sekarang saya serahkan kelas ini kepada cikgu,” kata Cikgu Kamaluddin kepada guru baru itu lalu melangkah keluar.
“Saya fikir, lebih baik dalam kelas pertama saya ini, saya mulakan dengan sesi berkenalan terlebih dahulu. Saya mulakan dengan diri saya. Nama saya Zaleha binti Jamal. Saya baru keluar maktab, oleh kerana saya baru dan banyak yang saya tidak tahu, saya harap kamu semua tidak keberatan membantu saya. Sama-sama kita belajar, boleh?” kata Cikgu Zaleha.
“Boleh,” sahut pelajar-pelajarnya.
“Baiklah, saya mahu awak kenalkan diri awak,” Cikgu Zaleha tersenyum memandang Ruzaihan.
“N... n... nama saya Ruzaihan. Pelajaran yang paling saya minat adalah... k... k... kimia!” tergagap-gagap Ruzaihan bercakap.
Mendengar apa ayang dikatakan oleh Ruhaizan, tiba-tiba kelas itu menjadi riuh-rendah.
“Bagus! Saya harap awak akan berjaya dalam pelajaran kimia,” puji Cikgu Zaleha dan menyuruhnya duduk.
Sesi berkenalan terus berjalan dengan lancar. Dalam pada itu Khairul Anuar tersenyum-senyum melihat Ruzaihan yang tidak jemu-jemu memandang wajah Cikgu Zaleha.
“Bila pula awak menjadi peminat pelajaran kimia? Markah awak yang paling tinggi pun cuma 25%,” Khairul Anuar mencebik.
“Saya memang minat dengan pelajaran kimialah,” kata Ruzaihan. Walaupun dia bercakap kepada Khairul Anuar, tetapi muka dan matanya terus memandang cikgu barunya itu. “Aduhai! Cantiknya!” hatinya berkata.
“Ehem!” kata Khairul Anuar.
“Syyy! Cikgu nampak kita bercakaplah,” kara Ruzaihan. Jari telunjuknya ditegakkan di bibirnya, dia cuma memperdayakan rakannya itu supaya berhentii mengusiknya.
“Saya hendak lihat awak dapat ‘A’ periksa hujung bulan ini nanti,” cabar Khairul Anuar sambil tersengih-sengih.
Ruzaihan senyap sahaja.
“Ruzaihan!” Cikgu Zaleha tiba-tiba memanggil.
“Ya, cikgu!” cepat Ruzaihan bangkit.
Cikgu Zaleha tersenyum. “Saya hendak berjumpa dengan awak waktu rehat nanti. Boleh kita berjumpa di kantin?”
“Boleh, cikgu,” berdebar-debar jantung Ruzaihan. “Uh! seronoknya. Cikgu hendak berjumpa dengan aku!” hatinya berkata.
Ruzaihan berasa seolah waktu berjalan terlalu lambat. “Cepatlah wahai masa! Aku hendak berjumpa dengan cikgu!”
“Saya sudah baca semua profil awak. Cikgu kimia yang lama pun sudah memberitahu saya tentang awak,” kata Cikgu Zaleha sebaik sahaja Ruzaihan menyedut minumannya.
“Hah! Cikgu Kamaluddin cakap apa tentang saya?” Ruzaihan sedikit terkejut.
“Jangan panik. Mereka hanya mengatakan yang baik-baik,” kata cikgu kimia barunya.
“Mereka cakap apa?”
“Mereka kata awak seorang yang bijak, tetapi selalu sangat mengantuk dalam kelas,” kata Cikgu Zaleha. “Saya hendak awak berjaya dalam mata pelajaran yang saya ajar. Boleh awak beri kerjasama kepada saya?”
“Boleh! Boleh!” jawab Ruzaihan.
“Saya harap awak akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti,” Cikgu Zaleha memberinya perangsang.
“Baik, cikgu. Saya tidak akan hampakan harapan cikgu,” Ruzaihan bersungguh-sungguh berjanji pada dirinya.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home