Sunday, December 18, 2005

Tan Sri Khalid Ibrahim dan Kongres

Kita pernah menyaksikan Tan Sri Khalid Ibrahim bercakap dalam tv dan seminar. Tetapi dalam kongres lalu, barulah nampak dengan amat jelas dan terang apa yang ada dalam lubuk hatinya.

Rupa-rupanya beliau mempunyai bakat menyampaikan pemikirannya dengan gaya yang sangat persuasif. Sepanjang 20 minit beliau bercakap, sebanyak 13 kali dewan memberi tepukan gemuruh kepada analisis dan cadangan-cadangan yang dikemukannya berkenaan isu-isu ekonomi orang Melayu dan ekonomi negara.

Beliau seorang yang tidak petah bercakap. Ayat-ayatnya kerap patah-patah, manakala ada masanya beliau tercari-cari perkataan yang betul. Meskipun beliau mempunyai dua kelemahan itu, beliau muncul sebagai individu paling persuasif sepanjang kongres.

Apakah faktor yang membolehkan orang yang tidak petah bercakap begitu persuasif? Inilah analisis kita:

a. Beliau mengemukakan maklumat-maklumat baru dan statistik yang belum diketahui oleh peserta kongres.

b. Beliau menggunakan cerita bagi menyampaikan maklumat dan statistik yang dapat mengelakkan hadirin daripada bosan mendengar, di mana beliau bercerita tentang analisis profesor di Oxford tentang prestasi PNB dibandingkan dengan prestasi Temasek di Singapura yang serupa usia dan fungsinya. PNB berjaya mengumpul US$20 bilion sedangkan Temasek berjaya mengumpul US$140 bilion!

c. Meskipun beliau tidak petah, tetapi beliau menyebutkan setiap perkataan yang diucapkannya dengan terang dan jelas dan ini menyebabkan hadirin faham apa yang dikatakannya.

d. Beliau bercakap dari lubuk hatinya. Beliau tidak pura-pura menjadi orang pandai. Beliau hanya bercakap tentang apa yang dia tahu. (Apa yang beliau tahu, banyak orang tidak tahu.) Sikap itulah yang menyebabkan hadirin tidak sangsi ataupun menaruh curiga tentang pendiriannya dalam isu-isu yang diterangkannya.

Ini kesimpulan kita: Tan Sri Khalid Ibrahim mempunyai bakat persuasif yang belum pernah kita lihat ada pada mana-mana tokoh korporat Melayu.