Perempuan Lebih Pandai Menulis untuk Remaja?
Apabila identiti JK Rowling yang sebenar terbongkar, barulah orang tahu bahawa di sebalik nama lelaki itu adalah seorang perempuan. Jualan siri Harry Potter menjadikan beliau lebih kaya daripada Ratu Elizabeth.
JK Rowling adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai anak-anak remaja awal. Adakah ini semacam menunjukkan kaum ibu mempunyai potensi yang lebih baik bagi berjaya menghasilkan buku-buku untuk bacaan remaja dibandingkan dengan kaum bapa?
Sebelum JK Rowling, nama yang terkenal dalam dunia buku remaja adalah Enid Blyton. Buku-buku Enid Blyton menjadi model kepada penulisan cerita-cerita bagi bacaan remaja. Karya beliau diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa di segenap pelosok dunia.
Apa yang dilakukan oleh Enid Blyton ditiru oleh para penulis dan penerbit buku-buku remaja di seluruh dunia. Buku-buku cerita Enid Blyton dibuat bersiri-siri, maka seluruh dunia menerbitkan siri-siri seperti itu yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan.
Buku-buku Enid Blyton mengandungi mesej moral yang terlalu terang dan jelas, maka seluruh dunia meniru gaya itu. Unsur mengajarkan nilai-nilai murni “yang baik dibalas baik, yang jahat dibalads jahat” menjadi ciri utama cerita-cerita Enid Blyton.
Buku-buku Enid Blyton kecil-kecil, maka di mana-mana pun buku untuk remaja diterbitkan dalam saiz kecil-kecil. Cerita-cerita Enid Blyton mempunyai plot yang ringkas, maka di mana-mana pun cerita untuk remaja mengemukakan plot-plot yang ringkas. Akibatnya buku-buku Enid Blyton adalah nipis dan dijual dengan harga yang murah.
Sebelum JK Rowling, tidak ada mana-mana penulis yang begitu berjaya menghasilkan buku-buku cerita untuk bacaan remaja lelaki dan perempuan. Buku-buku Harry Potter lebih tebal daripada sesetengah buku cerita untuk bacaan dewasa, dengan harga jualan yang serupa dengan buku-buku dewasa.
JK Rowling menulis cerita-ceritanya menggunakan formula yang menukar semua tradisi Enid Blyton. Beliau menulis untuk bacaan remaja, bukan untuk mengajar-ajar remaja. Inilah perbezaan paling pokok antara Enid Blyton dan JK Rowling!
0 Komen :
Post a Comment
<< Home