Unsur Khurafat Tidak Diterima dalam Sastera Islam
Dalam masyarakat Melayu, kepercayaan-kepercayaan khurafat yang ada pada hari ini berasal daripada dua sumber:
Sebelum orang Melayu mempunyai agama, mereka mengamalkan animisme, yakni percaya adanya kuasa-kuasa ghaib pada unsur-unsur alam semulajadi. Kepercayaan itu masih terus diamalkan oleh kaum-kaum Melayu Asli yang belum masuk Islam iaitu suku Jakun, Temuan dan Semelai. Walaupun suku Melayu sudah masuk Islam, mereka terus mempercayai kepercayaan-kepercayaan lama itu, seperti percaya adanya tempat-tempat yang 'keras', adanya 'orang bunian' ataupun adanya kuasa 'sumpah'.
Apabila agama Hindu datang ke Alam Melayu, orang Melayu masuk agama Hindu dan mereka diperkenalkan dengan kepercayaan khurafat yang terdapat dalam ajaran Hindu, sebagai contoh kepercayaan tentang kuasa 'daulat', alam nirwana, dewa-dewa dan lain-lain lagi.
Salah satu misi Islam adalah membasmi kepercayaan khurafat, kerana ia menyebabkan syirik. Contoh-contoh kepercayaan khurafat adalah:
Percaya sesuatu benda mati itu mempunyai kuasa sakti, umpamanya batu delima boleh melindungi keselamatan orang yang memilikinya, sebagai contoh orang yang memiliki batu delima itu tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.
Percaya ada makhluk-makhluk lain, selain apa yang disebut dalam Quran, umpamanya, ada orang bunian, vempire, pontianak, penunggu, hantu kopek dan banyak lagi.
Percaya wujudnya makhluk yang disebut dewa-dewa dan dewi-dewi yang mempunyai kuasa-kuasa luar biasa, yakni kuasa-kuasa yang hanya dimiliki Tuhan, seperti dapat menghidupkan semula benda yang sudah mati.
Percaya adanya makhluk lain yang lebih istimewa daripada manusia biasa, seperti adanya manusia jadi-jadian ataupun puteri bunian.
Percaya adanya jenis manusia lain, selain manusia keturunan Nabi Adam, sebagai contoh, manusia puteri yang lahir dalam buluh betung, ataupun manusia yang lahir dari muntah kerbau, ataupun manusia keturunan dewa-dewa.
Percaya pada kuasa sumpah, umpamanya percaya adanya manusia biasa yang berupaya menyumpah anaknya menjadi batu, ataupun berupaya menyumpah negerinya supaya menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan, ataupun berupaya menyumpah putera raja menjadi katak.
Percaya adanya manusia yang mempunyai kuasa luarbiasa seperti kuasa daulat, umpamanya seseorang manusia biasa itu boleh menyebabkan manusia lain 'terkena daulatnya' sehingga mendapat penyakit sopak.
Percaya adanya ilmu-ilmu ghaib yang selayaknya dimiliki dan diamalkan oleh manusia yang baik-baik, sedangkan ilmu-ilmu itu mempunyai ciri-ciri ilmu sihir, iaitu suatu jenis ilmu yang haram mengamalkannya.
Percaya adanya kuasa-kuasa ghaib pada angka dan huruf, sebagai contoh angka 8 adalah angka bertuah manakala angka 4 adalah angka sial.
Percaya adanya manusia yang lahir membawa sial ataupun tuah.
Percaya adanya makhluk seperti pokok, ikan, burung ataupun belalang yang mempunyai kuasa mendatangkan nasib untung ataupun nasib sial kepada manusia.
Percayanya ada benda-benda yang mempunyai kuasa 'keramat' seperti kubur ataupun batu yang berkuasa memberi anak kepada pasangan mandul dan lain-lain.
Percaya adanya kitab lain yang ajaran di dalamnya mesti dipatuhi oleh manusia selain daripada kitab Quran, umpamanya percaya ajaran dalam kitab Bhagavadgita layak dijadikan pegangan oleh manusia.
Adakah sastera Islam menerima karya-karya fantasi? Kita berpandangan, ya, sastera Islam boleh menerima karya fantasi selagi ia tidak mengandungi unsur khurafat.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home