Penerbit Indie, Bermuafakatlah!
Adakah saudara penerbit indie (independent), serupa seperti KakiNovel, NB Kara, KarnaDia, Media Intens, Blue-T dan lain-lain?
Kita ingin memasukkan Creative dalam kategori penerbit indie sebab walaupun Creative sudah relatif besar, tetapi ia tetap sebuah penerbit indie. PTS juga adalah sebuah penerbit indie kerana ia tidak dimiliki oleh syarikat induk korporat seperti halnya Alaf21 yang dimiliki oleh gergasi Kumpulan Karangkraf ataupun Cerdik yang dimiliki oleh Kumpulan Rythm, ataupun Utusan P&D yang dimiliki oleh Kumpulan Utusan.
Kita mengesyorkan supaya para penerbit indie seperti En. Jaafar Taib, En. Rizal Abdullah, Puan Norhayati Ibrahim, Puan Aina Emir, Puan Fauziah Ashari, Dr. Lim Swee Tin, En. Helmy Samad dan Puan Shamsiah Mohd. Nor bekerja seolah-olah suatu 'konsortium' tidak formal.
Sebagai sebuah 'konsortium' para penerbit indie akan mempunyai program penerbitan yang dilaksanakan secara indie tetapi menggunakan strategi yang sepunya. Sebagai contoh, bagi mengisi kekosongan buku kreatif untuk bacaan remaja lelaki, semua penerbit indie masing-masing setuju menerbitkan 5 buah judul sepanjang tahun 2007.
Pusat-pusat sumber sekolah sudah lama menghadapi kekurangan bahan-bahan bacaan untuk pelajar lelaki. Kalau masing-masing penerbit indie bekerja sendiri-sendirian, masing-masing buat hal masing-masing, kita tidak akan dapat membantu perkembangan pendidikan negara ini dengan menerbitkan ratusan judul yang diperlukan oleh sekolah-sekolah rendah dan menengah setiap tahun.
Sebagai langkah permulaan, kita ambil kesempatan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur nanti, kita semua duduk minum kopi bersama-sama, kita saling berkenalan dan bertukar-tukar fikiran mencari jalan bagaimana kita dapat bekerja dengan permuafakatan yang menguntungkan semua pihak.
Barangkali lebih baik kita cipta semacam kelab persahabatan antara sesama kita. Kita sendiri sedia menjadi penggerak kelab ini. Ini hp saya: 0123025971. Ini emel saya: ainon@pts.com.my.
Bagi saudara yang menyokong syor ini, hubungi saya supaya kita dapat mengaturkan masa dan tempat di mana kita boleh minum kopi bersama-sama. Pada masa-masa lain, bagi mengeratkan lagi tali silaturahim, kita boleh bermain badminton bersama-sama!
2 Komen :
Saya dimaklumkan Cerdik yang kerap disangka sebahagian daripada Kumpulan Rythm sebenarnya tidak. Kekeliruan ini adalah disebabkan pengerusi Kumpulan Rythm adalah juga pengerusi Cerdik. Kita minta maaf atas kesilapan ini. Kalau begini kedudukannya kita mengajak Cerdik ikut dalam kelab indie kita!
saya sokong! ;)
Post a Comment
<< Home