Bagaimana Penerbit Bagus Boleh Gagal Menjual Buku
Buku saudara mungkin sudah betul daripada sudut kandungan dan pakejing. Penerbit yang saudara pilih pun sebuah penerbit yang sudah besar dan terkenal.
Banyak buku-buku penerbit saudara itu dapat dibeli di kedai-kedai buku besar seperti MPH, POPULAR dan Kinokuniya? Saudara yakin buku saudara akan berjaya di pasaran. Tetapi selepas 5 bulan buku saudara itu diterbitkan, ia masih tidak ada di MPH dan Kinokuniya?
Saudara hairan, buku penulis-penulis lain yang terbit kemudian sudah ada, buku saudara masih tidak ada. Padahal buku saudara diterbitkan dan diedarkan sendiri oleh penerbit yang sama.
Terfikir oleh saudara, kalau penerbit saudara tidak yakin buku saudara laku dijual, masakan buku saudara itu diterbitkannya. Jadi, di mana silapnya?
Biar kita terangkan bagaimana buku dijual di kedai-kedai buku.
Buku yang saudara nampak dipamerkan di kedai-kedai itu, sebenarnya buku-buku itu bukan diletakkan di rak-rak itu oleh pengedar ataupun oleh penerbit sendiri.
Semua buku yang ada dalam kedai buku dipilih oleh eksekutif syarikat retailer itu, yang menjalankan tugas-tugas 'book purchasing'. Mereka dipanggil 'book purchaser'. Jika book purchaser pilih buku saudara, itu berita baik, jika tidak, tidaklah.
Book purchaser tidak mungkin mengetahui semua jenis buku yang diterbitkan oleh puluhan penerbit yang ada di negara ini. Ambil sebagai contoh, nama Alaf21 sudah besar, tetapi ramai book purchaser masih tidak tahu bahawa Alaf21 menerbitkan buku-buku akademik juga.
Kalau saudara berpeluang berkawan-kawan dengan mana-mana book purchaser, cuba tanya soalan seperti “Ada ataupun tidak novel-novel fiksyen sejarah terbitan Malaysia?”
Jangan hairan jika book purchaser itu terkebil-kebil. Istilah 'fiksyen sejarah' itupun entah dia pernah dengar entahkan tidak.
Ataupun cuba tanya, “Apa nama penerbit buku-buku autobiografi tokoh-tokoh Malaysia?” Jika book purchaser itu tidak tahu rupa-rupanya ada buku-buku biografi tokoh-tokoh Malaysia, tentulah dia tidak tahu nama penerbit itu, dan tidak mungkin dia akan mencari buku-buku biografi itu bagi dipamerkan di dalam kedai-kedainya.
Eksekutif yang bertugas sebagai book purchaser selalu bertukar-tukar orangnya. Kita baru sahaja menjalin hubungan baik dengan book purchaser yang ada, top-top dia dipindahkan ke jabatan lain, ataupun berhenti kerja.
Apabila masuk orang baru, dia tidak tahu apa-apa tentang produk-produk dalam bahasa Melayu, barangkali dia cuma tahu novel-novel cinta oleh Creative dan Alaf21. Faktor ini pun sudah cukup memeningkan pegawai pemasaran si penerbit.
Retailer yang besar-besar lazimnya mempunyai satu orang book purchaser sahaja. Dia memilih buku untuk semua rangkaian kedai-kedainya.
Kalau book purchaser itu Cina ataupun India, peninglah kita sebagai penerbit buku Melayu! Lazimnya book purchaser Cina dan India memang tidak berminat pun hendak mengetahui citarasa pembaca buku-buku Melayu.
Jika book purchaser tidak tahu menahu tentang buku apa yang dicari oleh pembaca Melayu, bagaimanakah mereka pandai memilih buku-buku Melayu yang sepatutnya mereka pesan untuk dijual dalam kedai-kedai mereka?
Malah book purchaser bukan Melayu tidak mempunyai sebab mengapa mereka harus menjual buku-buku Melayu. Bagi book purchaser, yang penting dia pilih buku yang laris dijual, tidak timbul isu buku dalam bahasa apa.
Ini baru cerita book purchaser kedai-kedai superstore di Lembah Kelang. Bagaimana dengan cerita book purchaser di bandar-bandar lain? Adakah penerbit saudara itu kenal mereka? Sebanyak mana mereka tahu tentang produk-produk dalam bahasa Melayu yang sudah terbitkan?
4 Komen :
Salam,
Kerana itu saya katakan selain dosa-dosa penerbit (meminjam ungkapan Nisah Hj Haron)ada dosa-dosa lain yang perlu dipertimbangkan juga. Dosa-dosa pengedar,dosa-dosa kedai buku dan lain-lain lagi.
Terima kasih
Saya cuba berfikir di luar kotak.
Tidak adakah usahawan Melayu yang mahu megusahakan rangkaian kedai buku yang besar, dan boleh meletkkan karya tulisan Melayu di tempatyg selayaknya?
Kalau tak silap MPH adalah milik Al-Bukhariy..?
Sdr Jiwa Rasa,
Hanya selepas Dato' Syed Mokthar membeli MPH, barulah buku Melayu merasa masuk superstore!
Ambil nota ini: Dato' Syed Mokhtar adalah seorang pelabur. Kita tidak tahu, jika besok lusa beliau mempunyai alasan kukuh menjual sahamnya dalam MPH, jika pembelinya bukan orang Melayu ataupun korporat Melayu, bagaimanakah implikasi penjualan sahamnya itu ke atas nasib buku Melayu dalam MPH?
Penulis kena promote buku mereka di mana-mana. Jika orang ramai tahu bahawa wujudnya buku yang ditulis, orang ramai akan cari di kedai-kedai buku. Buku '15 teknik efektif internet marketing ada". Jadi orang kedai buku tahu bahawa buku tu kena ada dalam kedai dia.
Kalau ramai yang bertanya disebabkan promosi yang bagus, sedikit sebanyak ada kesan juga kepada orang kedai buku bertanya kepada penerbit tentang buku tersebut.
*tak tau betul ke teori ni...:D
Post a Comment
<< Home