Friday, August 18, 2006

Fokus Bisnes PTS Litera Utama

Sebagaimana yang sudah disebut lebih awal dalam blog ini, PTS Litera Utama Sdn. Bhd. (PTS LITUM) adalah pelaburan bersama PTS dan MIZAN (Indonesia).

Target utama PTS LITUM adalah perpustakaan peribadi para peminat buku-buku 'international best-seller' (IBS) di Malaysia. PTS LITUM akan fokus menerbitkan edisi terjemahan buku-buku IBS kontemporari dan terkini.

PTS LITUM sedang bekerja keras dalam rangka membekalkan produk berkualiti khusus bagi memenuhi keperluan dan citarasa golongan kelas menengah dan terpelajar, yang majoritinya menyukai kedai-kedai buku elitis seperti MPH dan Kinokuniya.

Meskipun fokus PTS LITUM adalah buku-buku IBS, tetapi hanya judul-judul yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni sahaja yang akan diterbitkan.

Sebagai permulaan, PTS LITUM sudah memilih judul-judul IBS yang terbukti mendapat sambutan hangat di Indonesia apabila diterjemahkan ke dalam bahasa itu. Dalam fasa terdekat ini, judul-judul itu terdiri daripada buku-buku bisnes, pengurusan, dan fiksyen. Dari masa ke masa lebih banyak kategori akan diterbitkan oleh PTS LITUM.



.