Kedai Buku Besar
Siapakah yang menentukan buku-buku apa yang dijual di dalam rangkaian kedai-kedai buku seperti MPH, Kinokuniya, Borders, Times dan Popular?
Jawapannya: Orang itu dipanggil Pengurus Merchandising.
1. Pengurus Merchandisinglah orang yang bertugas mencari dan mendapatkan buku-buku dan barangan lain yang hendak dijual di dalam kedai-kedai buku ataupun yang sesuai konsep kedai-kedai bukunya. Jadi jika buku yang saudara terbitkan itu tidak diminati oleh Pengurus Merchandising, sakitlah saudara!
Jika Pengurus Merchandising itu bukan orang Melayu pula, macam mana dia hendak tahu siapa penerbit-penerbit Melayu, apa buku-buku Melayu yang sudah diterbitkan dan apa buku-buku yang disukai oleh orang-orang Melayu. Dia pun main letak sahaja, kemudian buku-buku itu tak laku, kemudian dia kata buku Melayu tak ada orang nak beli, lalu dia tak berminat menjual buku-buku Melayu dalam rangkaiannya.
Rangkaian MPH sekarang mempamerkan banyak buku Melayu, malah di sesetengah kedai MPH, stok bagi per judul buku Melayu lebih banyak daripada per judul Inggeris, khususnya di kedai-kedai MPH yang terletak di kawasan perumahan Melayu, hasilnya perolehan jualan judul Melayu mula mengatasi perolehan jualan buku Inggeris.
Kejayaan MPH mempromo buku-buku Melayu adalah dengan melantik seorang pengurus Melayu bagi menguruskan bisnes seksyen Melayu. Langkah ini ditiru oleh rangkaian Popular, itulah sebabnya seksyen buku Melayu dalam kedai-kedai Popular sudah semakin meningkat.
2. Pengurus Merchandisinglah yang berbincang dengan penerbit, pembekal, dan pengedar buku berkenaan syarat-syarat urusan jual beli buku. Pengurus Merchandising mempunyai kuasa meminta jumlah diskaun, jumlah naskhah minima, tempoh pembayaran dan lain-lain lagi.
3. Pengurus Merchandisinglah yang membuat pesanan berapa jumlah stok buku yang dikehendaki daripada penerbit ataupun pengedar, dan dia yang menentukan di kedai-kedai mana, dan di ruang mana sesuatu tajuk buku itu patut dipamerkan dalam kedai. Kalau dia memutuskan buku saudara diletakkan di rak depan pintu tandas, sakitlah saudara! Jika penerbit buku saudara tidak pandai bekerjasama dengan Pengurus Merchandising rangkaian kedai-kedai besar, sakitlah buku saudara hendak masuk rangkaian itu.
4. Pengurus Merchandising juga mempunyai kuasa menentukan berapa banyak buku saudara yang boleh dipesan oleh mana-mana satu kedai. Jika Pengurus Merchandising kata setiap kedai ambil 2 copy sahaja buku saudara, sakitlah, sebab kalau cuma 2 copy, buku saudara cuma terselit-selit sahaja di celah-celah buku lain.
Kalau Pengurus Merchandising tidak yakin buku saudara dapat dijual, dia takkan ambil 20 copy, sebab ruang kedai sangat mahal, dan kedai buku bukan setor tempat menyimpan buku tak laku!
5. Pengurus Merchandising menguruskan segala urusan berkenaan stok daripada pembekal, pengedar ataupun penerbit dalam dan luar negeri.
6. Pengurus Merchandising menguruskan kemasukan data buku ataupun stok lain ke dalam sistem komputer.
7. Pengurus Merchandisinglah yang menentukan klasifikasi buku dan barang-barang lain yang dijual dalam kedai buku. Kalau dia kata buku saudara termasuk dalam kategori buku kanak-kanak, maka di rak itulah buku saudara akan diletakkan dalam kedai, walaupun sebenarnya buku saudara itu adalah untuk remaja!
8. Pengurus Merchandising mendapatkan maklumat terkini berkenaan buku dan industri penerbitan untuk disampaikan kepada semua pengurus kedai cawangan dan ketua-ketua bahagian operasi. Kalau Pengurus Merchandising mengatakan buku Melayu tak berapa laku, maka pengurus cawangan kedai takkan meletakkan buku-buku Melayu di depan pintu masuk.
9. Pengurus Merchandising berhubung dengan agensi-agen kerajaan yang berkaitan dengan perniagaan bahan bacaan dan alat tulis contohnya KDN, HEP, Majlis Perbandaran, Kastam dan sebagainya.
10. Pengurus Merchandising juga memberi latihan dan penerangan kepada pengurus-pengurus kedai cawangan dan staf kedai di barisan hadapan tentang buku-buku dan produk-produk lain yang dijual dalam kedai, umpamanya tentang cara mempamerkan buku dan sebagainya. Kalau fokus Pengurus Merchandising adalah mempamerkan buku-buku Inggeris, sakitlah buku Melayu saudara.
Jadi, kalau Pengurus Merchandising tak berminat membaca buku Melayu, apatah lagi dengan isi kandungan buku-buku Melayu, dia takkan suruh pengurus kedai-kedai cawangan mempromo buku-buku Melayu dalam kedai-kedai cawangan. Sakitlah buku-buku Melayu.
11. Pengurus Merchandising juga melakukan lawatan ke kedai-kedai cawangan bagi mendapatkan maklumbalas dan komen daripada staf kedai berkenaan buku-buku dan lain-lain produk yang dijual dalam kedai.
12. Pengurus Merchandising juga senyap-senyap pergi melawat kedai-kedai syarikat lain, bagi mengetahui apa kekurangan syarikatnya sendiri yang perlu diperbaiki ataupun perlu ditingkatkan, daripada pelbagai sudut seperti stok, harga, promosi, service dan sebagainya.
13. Pengurus Merchandising juga berfungsi sebagai kumpulan sokongan untuk mana-mana bahagian lain dalam syarikat seperti bahagian pameran, bahagian kedai, bahagian pemasaran, dan bahagian operasi apabila diperlukan.
Pengurus Merchandising memikul tanggungjawab memilih apa yang kedai buku dapat jual. Bagi Pengurus Merchandising, jual, jual, jual. Kalau buku yang dipilih tak laku, Pengurus Merchandising akan dipersoal. Baginya apa buku pun dia tidak peduli, asalkan dapat dijual.
Jadi jikalau Pengurus Merchandising tidak berminat hendak membangunkan seksyen buku-buku Melayu, sakitlah penerbit Melayu! Tetapi penerbit Melayu jangan salahkan Pengurus Merchandising sahaja. Kalau rupa wajah buku-buku Melayu muram, macam buku nadir, ataupun designnya compang-camping, bagaimana buku seperti itu hendak laku dijual.
Dan jangan salahkan kedai buku bila buku tidak laku, jikalau penerbit sendiri tidak menghantar pegawainya selalu-selalu berjumpa Pengurus Merchandising dan meminta tunjuk ajar beliau berkenaan buku yang bagaimana yang laku dijual dalam kedai-kedai besar.
Apabila saudara hendak menerbitkan buku-buku yang laku dijual dalam rangkaian kedai-kedai besar, saudara mesti pandai berurusan dengan Pengurus Merchandising, dan selalu dapatkan maklumat daripada mereka tentang tingkah laku dan citarasa pembeli buku-buku Melayu.
.
3 Komen :
Assalamualaikum wrh..
Puan Ainon, saya ada maklumkan tidak beberapa dulu, saya ada meninjau-ninjau MPH(cawangan Ipoh), buku-ruku untuk remaja PTS-One, diletakkan di rak pra-sekolah, bukan setakat itu, raknya mengadap sebelah dinding. Sesiapa yang tahu tuju ke situ saja yang akan melewati rak itu. Kalau tidak...entahlah...(tsk bolehkan minta MPH buat sesuatu..bukankah jumlah besar sahamnya dimiliki seorang Muslim?)
Berbanding dengan Popular...memang disediakan rak terbuka menarik dan berdekatan dengan pintu masuk(saya sempat ke Popular Kota Baru, Kelantan, semasa sedang 'bertapa' di HUSM selama sebulan, menyudahkan kerja penyelidikan membina sistem aplikasi dalam bidang perubatan...masa itu perlu 'berhibur'...ke kedai bukulah tempatnya...)
Bagaimana ibu puan? Sudah beransur pulih...harap-harap begitulah hendaknya...
Puan Umi, ibu saya ada semangat sikit malam tadi sebab ramai anak cucu datang, besannya pun ada yang datang.
Tentang kes MPH Ipoh, kita tahu, sebab pegawa PTS ada jadual turun padang setiap bulan.
Puan, pengurus kedai adalah raja dalam kedainya, dia buat apa dia suka!
Kalau pelanggan komplen, itu amat membantu kita.
Assalamualaikum wrh..
Informasi yang amat menarik dan berfaedah kepada kita bersama dan saya akan meninjau adakah buku JEJAK MERDEKA dapat menarik minat Pengurus Merchandising sempena Bulan Kemerdekaan kali ini dan bersedia belajar sekiranya buku tersebut gagal memenuhi syarat yang ditetapkan. Buku saya banyak dijual di Muzium Perak sahaja kerana ada yang membantu mempromosi dan menjualnya di kaunter masuk Muzium Perak, Taiping.
InsyaAllah buku saya yang kedua akan lebih baik dengan adanya bimbingan Puan Ainon.Selamat bermusafir dan berjuang ke Bandung dan saya akan temui puan seperti yang dijanjikan di Pesta Buku Selangor 2006.
Post a Comment
<< Home