Friday, August 18, 2006

Musim-musim Buku

Bulan puasa akan datang tidak lama lagi. Bulan Ramadhan datang dengan pelbagai kebaikan, termasuk rezeki yang melimpah-limpah bagi para penerbit.

Jika saudara buka laman web rasmi PTS, saudara dapat lihat judul-judul buku agama ulang cetak dan yang akan terbit.

Mulai saat ini dan sepanjang bulan puasa, jualan buku-buku agama melonjak, dan kemudian ia turun semula selepas hari raya ke paras normal. Begitulah ragam pasaran buku-buku Melayu.

Bagi saudara yang baru belajar menjadi penerbit, ambil ingatan bahawa pasaran buku mempunyai takwim atau kalendarnya sendiri.

Program penerbitan saudara sebaik-baiknya jangan bertentangan dengan kalendar buku. Sebagai contoh, sebulan dua sebelum bulan puasa jangan terbitkan buku-buku sastera yang berat-berat. Fokuskan kepada buku-buku agama sebab memang pembaca Melayu lebih banyak membeli buku-buku agama menjelang bulan puasa.

Siapa pula yang membaca buku sastera berat-berat dalam bulan puasa!

Dalam bulan puasa pula, cetak dan edarkan buku panduan umrah dan haji, sebab mereka yang akan naik haji mula membeli buku-buku itu selepas tamat mood hari raya.

Bulan raya sehingga bulan haji juga adalah bulan orang bertunang dan bersanding. Dalam bulan puasa ini mulakan mencetak buku-buku panduan suami isteri dan segala macam panduan menyediakan peralatan majlis perkahiwnan.

Takwim ini juga penting kepada para penulis. Jangan tulis buku panduan puasa dalam bulan puasa, nanti penerbit akan simpan manuskrip saudara itu sampai tahun depan baru diterbitkan. Jenuhlah saudara menunggu!