Sunday, September 10, 2006

Tema Keluarga: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak menerangkan kepada penulis apa tema-tema yang dapat melahirkan kisah-kisah yang indah, yang dapat kekal indah sepanjang zaman, yang dapat dinikmati oleh semua pembaca tanpa mengira bangsa, usia, agama mahupun kebudayaanya.

Mengikut teori sastera Islami aliran surah Yusuf, salah satu ciri pada tema utama dalam kisah yang indah adalah tema hubungan kekeluargaan.

Kisah Nabi Yusuf adalah kisah tentang apa yang terjadi dalam keluarga Nabi Yaakub suami isteri dengan 11 orang anak-anaknya. Dari mula kisah ini dibuka sehingga kisah ini tamat diceritakan, ia adalah perjalanan hidup keluarga Yaakub.

Dalam trend sastera konvensional hari ini, tema keluarga sudah dianggap passe, tidak trendi, sudah ketinggalan zaman. Dengan itu dalam novel-novel moden hari ini, watak-watak utamanya dicabut daripada akar kaum keluarganya menjadikan watak-watak itu sebagai individu-individu yang tidak berkeluarga ataupun mempunyai kaum kerabat lagi. Jadi kita lihat dalam novel SALINA karya A Samad Said, watak utama Salina tidak diceritakan latar belakang ahli-ahli keluarga dan sanak saudaranya.

Kita dapat melihat kelebihan karya yang mengambil tema perjalanan hidup sesebuah keluarga:

1. Tema keluarga adalah tema yang stabil. Ia stabil, tidak trendi, dan ia bersifat evergreen. Kisah Nabi Yusuf dan keluarganya sudah lebih seribu tahun usianya, dan ia masih kekal dibaca dan dinikmati sehingga hari ini.

Novel yang menjadikan tema keluarga sebagai tema utamanya dapat menjadi harta intelek yang panjang hayat pasarannya. Dengan demikian ia dapat dijual selama berpuluh-puluh tahun dan membawa hasil royalti yang berpanjangan.

2. Tema keluarga adalah tema universal. Ia bukan tema regional dan lokal. Tema-tema lokal, pasarannya pun lokal, oleh itu royaltinya kecil.

Justeru, cerita-cerita perjalanan hidup sesebuah keluarga dapat dinikmati oleh semua bangsa, dalam apa jua bahasa, justeru karya itu dapat diterjemahkan dan diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain.

3. Tema keluarga menjadikan cerita itu dapat dibaca dan dinikmati oleh setiap anggota keluarga. Ia dapat dibaca generasi demi generasi. Kisah keluarga Nabi Yusuf dapat dibaca dan dinikmati oleh ibu bapa dan anak-anaknya.

Novel-novel tema keluarga, yang dulu dibaca oleh si ayah sewaktu dia remaja, kini novel-novel itu dapat pula dibaca dan dinikmati oleh anak-anaknya, malah cucu-cucunya. Pasaran novel jenis ini adalah lebih besar daripada pasaran novel yang tidak dapat dinikmati oleh semua anggota keluarga.

4. Tema keluarga adalah tema yang produktif. Sesetengah tema sukar menghasilkan produk-produknya. Namun tema keluarga adalah tema yang amat 'friendly', sesiapa sahaja dapat mencari bahan-bahan cerita kekeluargaan di sekelilingnya. Justeru mereka dapat menggunakan cerita perjalanan hidup keluarga mereka sendiri.

Tema perang sukar dihasilkan oleh penulis yang tidak mempunyai pengalaman berperang ataupun pengetahuan tentang ilmu peperangan, meskipun penulis itu dilahirkan dengan bakat kreatif yang besar. Demikian juga halnya dengan tema-tema sains, undang-undang, sejarah, penyakit mental dan seumpamanya.

Tentu sekali masih banyak kelebihan tema keluarga. Allah jualah yang lebih tahu mengapa apabila Dia hendak menunjukkan kisah yang indah, maka kisah yang dipilihNya adalah kisah keluarga Nabi Yaakub suami isteri dan anak-anaknya.


.