Tuesday, September 05, 2006

Jumlah Cetakan Pertama

Apabila saudara hendak menerbitkan buku-buku untuk jualan dalam kedai-kedai buku, berapakah jumlah cetakan pertama yang sebaiknya? Berikut adalah panduan umum:

(a) 1500 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku semi-akademik dan profesional yang dijual pada harga lebih RM20. Hampir 50% buku-buku terbitan PTS Profesional termasuk dalam kategori ini.

(b) 2000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku bacaan umum yang dijual antara RM16 - RM19. Hampir semua buku-buku terbitan PTS Millenia termasuk dalam kategori ini. Novel-novel PTS Fortuna juga termasuk dalam kategori ini.

(c) 3000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi cetakan pertama buku karangan penulis yang sudah terbukti buku-bukunya mudah dijual, seperti buku-buku Dr. Danial Zainal Abidin. Termasuk dalam kategori ini adalah buku-buku bacaan kanak-kanak.

Apakah kelebihan mencetak jumlah kecil bagi cetakan pertama?

1. Cetakan pertama adalah ujian bagi mengetahui apakah judul itu laku dijual. Jikalau terbukti laku, tiada masalah mengulangcetak judul itu. Jikalau tidak berapa laku, jumlah yang kecil itu adalah cara menguruskan risiko. Bayangkan jika saudara mencetak 5000 naskhah dan terbukti buku itu kurang laku dan tersadai dalam setor bertahun-tahun.

2. Dalam cetakan pertama seringkali terdapat kesilapan pada isi ataupun pada pakejingnya. Apabila jumlah cetakan itu kecil, stok dapat cepat habis dijual, dan kesilapan itu dapat dibaiki segera apabila diulangcetak. Jika saudara mencetak 5000, ertinya lamalah lagi sebelum semua stok dapat dijual dan kesilapan itu dapat dibetulkan.

3. Cetakan pertama perlu dijual dalam tahun pertama sebab apabila sudah berubah tahun, buku itu semakin sukar dijual. Pembeli hanya membeli buku yang diterbitkan pada tahun semasa, bukan tahun-tahun sebelumnya. Pada fikiran pembeli, buku tahun lalu dianggap tidak bagus kualitinya, itu sebab stok lama masih belum habis!

4. Ada masanya konsep kulit buku itu tidak menarik, oleh itu jualannya tidak laju. Jumlah cetakan yang kecil membolehkan stok dijual habis, dan kulit buku ditukar apabila diulangcetak.

5. Para pekedai mahukan supaya setiap tahun kulit buku ditukar. Jika jumlah cetakan banyak, ini menimbulkan masalah dengan pekedai disebabkan kulit buku tidak ditukar bertahun-tahun.

6. Jumlah cetakan yang rendah membolehkan ruang setor digunakan dengan lebih efisien. Ruang setor mahal sewanya. Ia adalah tempat transit buku antara kilang cetak dan kedai buku. Ia bukan tempat menyimpan buku tidak laku.

Walaupun kos mencetak buku bagi setiap unit semakin turun apabila jumlah cetakan itu dinaikkan, tetapi dengan mengambil kira banyak faktor lain, jumlah cetakan pertama sebaiknya jangan lebih daripada 3000 unit.


.