Friday, September 01, 2006

Buku Ever Popular

Jika saudara hendak menjadi penerbit yang sanggup memikul tanggungjawab sosial dengan menerbitkan buku-buku perjuangan, saudara perlu mempunyai ratusan judul yang disebut "cash-flow products".

Sebaik-baiknya, nisbah antara judul perjuangan dengan buku cash-flow adalah 30 - 70. Ini bermakna, daripada 10 judul yang terbitkan, 7 mestilah buku cash-flow.

Judul-judul itu dipanggil "judul cash-flow" kerana ia menjamin wang tunai dapat terus mengalir masuk ke dalam akaun syarikat saudara sepanjang tahun, baik dalam masa ekonomi sihat mahuun gawat.

Sesetengah jenis buku sentiasa ada pembelinya, sepanjang tahun, tahun demi tahun. Dalam zaman gawat ekonomi pun buku-buku itu masih dapat dijual. Buku-buku itulah yang disebut cash-flow products.

1. Buku-buku asas agama, semua jenis agama, akan sentiasa ada pembelinya.
Di Eropah dan Amerika sekalipun, buku-buku agama adalah sektor terbesar. Buku-buku agama, daripada yang kecil-kecil kepada yang besar-besar, sentiasa laku. PTS sedang melabur secara serius bagi menerbitkan buku-buku agama tradisional untuk bacaan kelompok yang tidak tahu Islam dan tidak tahu membaca tulisan Arab dengan membuka PTS ISLAMIKA.

2. Buku-buku motivasi bagi membangunkan diri sentiasa laku sepanjang masa.
Buku-buku yang mendorong semangat mahu berubah, mahu bangun semula daripada kegagalan, mahu mencuba perkara-perkara baru, adalah evergreen, dapat terbit dan bertahan berpuluh-puluh tahun dalam pasaran.

3. Buku-buku kejayaan di tempat kerja.
Buku-buku yang memberi pelbagai panduan dan kemahiran untuk berjaya, naik gaji dan naik pangkat di tempat kerja adalah ever popular. Buku jenis ini ditargetkan kepada lelaki.

4. Buku-buku motivasi bisnes dan buat duit.
Buku-buku panduan membuka pelbagai jenis bisnes, membeli hartanah, bermain saham, menjadi super salesman, jadi jutawan MLM, dan lain-lain adalah buku motivasi yang paling banyak dibeli oleh lelaki.

5. Buku relationship lelaki-perempuan.
Pasaran buku-buku panduan hidup bahagia adalah tanpa hujungnya. Berapa pun banyaknya judul buku panduan bercinta yang sudah diterbitkan, apabila ada buku baru, ia tetap laku. Pembeli buku-buku ini adalah perempuan-perempuan muda. Daripada buku panduan bagaimana mencari kekasih, bagaimana menjinakkan lelaki hidung belang, sampai buku panduan bagaimana melupakan bekas suami, semuanya laku sepanjang masa.

6. Buku panduan menjadi perempuan sempurna.
Ini satu lagi jenis buku ever popular dan evegreen, yang tidak pernah ada masalah bagaimana hendak menjualnya. Targetnya juga perempuan.

7. Buku parenting.
Buku-buku panduan keibubapaan sentiasa laku sepanjang masa, apatah lagi buku panduan mendidik bayi supaya menjadi anak pintar. Pembelinya adalah wanita muda yang baru hamil ataupun baru mempunyai seorang anak.

8. Buku panduan kesihatan diri dan keluarga.
Ini satu lagi jenis buku yang ever popular, khususnya apabila buku itu ditujukan kepada pembeli wanita. Termasuk dalam kategori ini adalah buku khasiat herba.

9. Buku bacaan anak-anak.
Buku-buku yang dibaca oleh anak-anak sentiasa laku kerana walaupun dalam keadaan gawat apabila ibu bapa perlu berjimat cermat, lazimnya perbelanjaan untuk membeli buku anak-anak tidak akan dipotong dengan banyaknya.


PTS mempunyai program bagi menerbitkan ratusan judul-judul baru dalam semua 9 kategori di atas. Ia sesuatu yang mesti dilakukan bagi membiayai penerbitan buku-buku akademik PTS.