Pakaian: Prinsip Surah Yusuf
Salah satu unsur yang tidak diberikan gambarannya dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf dalam surah Yusuf adalah pakaian watak-wataknya.
Tidak ada sebarang gambaran berkenaan pakaian yang dipakai oleh semua watak yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf. Jadi, kita tidak diberitahu apa pakaian Nabi Yusuf ataupun pakaian isteri al-Aziz (Zulaikha).
Dalam teknik penulisan sastera konvensional, pengarang memberikan gambaran detail berkenaan pakaian watak-wataknya kerana dengan cara itu dikatakan karya akan menjadi lebih realistik dan watak-watak menjadi lebih real.
Dalam sastera konvensional, pengarang akan menerangkan dengan detail pakaian yang bagaimana yang dipakai oleh perempuan seumpama Zulaikha pada hari perempuan itu berjaya mengumpan lelaki seumpama Nabi Yusuf supaya mahu masuk ke dalam kamar di mana perempuan itu berada di dalamnya.
Disebabkan watak macam Zulaikha itu berniat menggoda lelaki macam Nabi Yusuf, jadi dapatlah kita andaikan perempuan itu pastilah memakai pakaian yang selaras dengan niatnya itu. Maka penulis yang menggunakan teori novel konvensional akan menerangkan dengan detail pakaian yang dipakai oleh perempuan seperti Zulaikha itu.
Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, kebalikannya yang berlaku, di mana pengarang tidak dikehendaki menerangkan pakaian yang dipakai oleh watak-wataknya.
Kita tidak dapat mengemukakan teori bagi menerangkan mengapa Allah tidak menerangkan sama sekali gambaran pakaian watak-watak dalam surah Yusuf, tetapi kita dapat melihat beberapa implikasi perkara ini:
(1) Pakaian adalah unsur yang 'time-bound', atau terikat-waktu.
Pakaian sebagai simbol tidak bersifat bebas waktu. Pakaian yang dianggap indah dan mahal pada satu-satu waktu mungkin dianggap hodoh dan murah pada waktu-waktu lain.
(2) Gambaran pakaian dapat digunakan oleh pengarang bagi tujuan negatif.
Sekiranya pengarang dibenarkan menggambarkan pakaian, khususnya pakaian perempuan cantik dan lelaki yang tampan, perkara ini dengan mudah dapat digunakan bagi tujuan negatif seperti yang banyak dilakukan oleh pengarang konvensional apabila hendak menerangkan episod-episod 'terlarang'.
Berdasarkan analisis ayat-ayat dalam surah Yusuf, kita menyimpulkan pengarang novel Islami tidak dibenarkan menerangkan pakaian watak-wataknya, khususnya pakaian watak-watak lelaki tampan dan perempuan cantik.
.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home