Monday, August 28, 2006

Strategi Bisnes Buku Suci

Adakah saudara seorang penerbit idealist dan saudara memiliki misi suci? Ini bermakna saudara mahu menerbitkan buku-buku yang sukar dijual.

Adakah saudara hendak menerbitkan buku-buku sastera yang berat-berat?

Buku sastera berat susah dijual. Jadi saudara perlu mempunyai program cross-subsidy atau subsidi-kembar bagi membiayai buku-buku perjuangan saudara.


Subsidi-kembar bermakna, bagi setiap satu buku perjuangan yang saudara terbitkan itu, saudara perlu menerbitkan satu buku lain yang "laku dijual". Jadi, setiap buku itu ada 'kembar'nya.

Keuntungan daripada buku-buku laku dijual inilah yang saudara gunakan bagi membiayai penerbitan buku-buku yang susah dijual.

Ini bermakna, jika saudara hendak menerbitkan 10 buku perjuangan, saudara perlu menerbitkan 10 buku kembarnya.

PTS berjuang memandaikan orang Melayu dengan menerbitkan buku-buku ilmu dalam Bahasa Melayu. Ini bermakna banyak judul buku yang diterbitkan oleh PTS termasuk dalam kategori "susah dijual" melalui kedai-kedai buku komersial.

Buku-buku akademik PTS hanya dijual melalui kedai-kedai buku koperasi universiti. Hingga hari ini PTS sudah menerbitkan 200 judul akademik.

Bagi membiayai buku-buku akademik keperluan pelajar universiti, PTS sudah menerbitkan 400 judul buku-buku motivasi popular dan novel remaja serta buku kanak-kanak, yang mudah dijual dan menguntungkan.

Jika saudara adalah salah seorang penulis buku popular PTS, saudara membiayai penerbitan buku-buku akademik PTS. Jangan saudara berasa rendah taraf sebab buku saudara adalah buku kanak-kanak ataupun buku remaja, ataupun cuma buku komik! Saudara adalah FINANCIER kepada buku-buku tulisan para pensyarah universiti bagi memandaikan pelajar-pelajar mereka!


.