Friday, September 08, 2006

Psikologi Menerima Kritikan

Entri ini ditujukan kepada angkatan penulis muda PTS, yang baru diperkenalkan dan yang akan diperkenalkan, kepada dunia novel Melayu melalui PTS FORTUNA.

Kata pepatah Tamil, pokok yang buahnya manis sahaja dibaling orang.

Apabila saudara masuk dunia sastera Melayu, saudara memasuki 'kebun ular' oleh itu saudara mesti bersedia dipatuk ular. Tidak ada walau satu orang pun sasterawan Melayu yang terlepas daripada dipatuk ular sastera. Semakin besar kejayaan seseorang itu, semakin banyak pujian dan kritikan yang diterimanya.

Sebagai contoh, pada minggu lalu sasterawan-saterawan negara dikritik dengan sangat kerasnya dalam Utusan Malaysia oleh seorang tokoh besar tempatan dalam teori sastera, Mohd. Affandi Hassan dalam artikelnya "Kembalikan Siuman Sastera Melayu". (Artikel itu disiarkan semula dalam blog Sdr Faisal Tehrani.)

Sebagai penulis, kritikan siapakah yang perlu saudara baca dengan serius? Jawabnya, kritikan daripada tokoh-tokoh yang mengetahui ilmu sastera, sebab mereka mengkritik menggunakan ilmu pengetahuan.

Kritikan daripada ilmuan sastera adalah signifikan kerana:


(1) Apabila novel saudara mendapat perhatian daripada golongan ilmuan bidang sastera, meskipun kritikan mereka itu keras dan negatif, itu adalah suatu pengiktirafan bahawa novel saudara itu sudah mencapai taraf yang layak dinilai sebagai karya sastera.

Ertinya, selagi novel saudara belum disebut oleh pengkritik berilmu, ini bermakna novel saudara belum dianggap bermutu sastera, yakni masih bertaraf novel popular, ataupun novel saudara itu bernilai sastera tetapi belum dikaji dan dinilai oleh ilmuan.


Golongan ilmuan membentangkan kritikan mereka secara rasmi dan bertanggungjawab melalui kolum sastera media massa dan dalam kertas kerja seminar-seminar sastera.

Apabila novel saudara dikritik ataupun dipuji-puji oleh pembaca yang bukan ilmuan dalam disiplin sastera, pandangan mereka itu bukan pandangan yang berdasarkan ilmu.

(2) Kritikan daripada golongan ilmuan sastera, biarpun keras dan negatif, tetapi mengandung maklum balas yang penting tentang novel saudara, dan berguna bagi meningkatkan lagi pencapaian saudara dalam novel-novel akan datang, sebab mereka mengkritik secara rasional dan ilmiah.

Dalam zaman internet, apabila saudara mempunyai blog dan web sendiri, maklum balas ke atas novel saudara daripada rakan dan seteru, amat mudah disampaikan dan diterima.

Pandangan daripada pembaca blog saudara yang mengandungi puji-pujian ataupun kutukan dalam ruang komen blog saudara itu adalah pandangan orang-orang biasa, bukan pandangan ilmuan.


Puji-pujian dan kritikan yang saudara terima daripada mereka yang bukan ilmuan sastera tidak boleh saudara jadikan ukuran kejayaan ataupun kegagalan saudara sebagai penulis disebabkan ia adalah pandangan dan penilaian yang tidak berdasarkan disiplin ilmu dan teori-teori sastera, melainkan citarasa peribadi orang-orang biasa.



.