DBP, PTS dan Kesan Supermarket
Mengapakah PTS ‘gila-gila’ menerbitkan antara 20 hingga 30 judul baru setiap bulan? Mengapakah PTS tidak menerbitkan beberapa judul yang pasti ‘hit’ sahaja?
Mengapakah PTS tidak meniru strategi bisnes ALAF21 dan Creative yang amat fokus pada pemilihan produk mereka?
Mengapakah PTS melakukan apa yang DBP pun gagal lakukan dari segi bisnesnya, yakni menerbitkan kategori buku yang luas, daripada buku popular, kanak-kanak, fiksyen, sehingga buku-buku kegunaan pelajar maktab dan universiti? Dan terakhir, PTS akan masuk kategori terjemahan.
Inilah jawapan kita: Justeru, disebabkan DBP gagallah, maka PTS terpaksa melakukan apa yang gagal dilakukan DBP, yakni mencipta apa yang disebut ‘kesan supermarket’ dalam pemasaran buku-buku Melayu.
Bagi menerangkan istilah ‘kesan supermarket’, mengapakah apabila di sesuatu kawasan itu dibuka mini-market, maka habis gulung tukar kedai-kedai runcit di sekelilingnya?
Apabila dibuka pula supermarket di sesuatu kawasan, mini-market gulung tikar. Apabila dibuka hypermarket, supermarket pula gulung tikar.
Begitulah juga dengan kompleks membeli-belah. Apabila dibuka kompleks yang lebih besar dan lebih luas, kedai-kedai dalam kompleks yang lebih kecil saiznya gulung tikar. Justeru, apabila kompleks KLCC dibuka, kedai-kedai konsumer dalam Ampang Shopping Centre gulung tikar.
Inilah fenomena yang disebut dengan istilah ’supermarket effect’.
Istilah ’supermarket effect’ sudah lama diketahui oleh pakar-pakar strategi pemasaran. Strategi kesan supermarketlah yang menyebabkan kompleks-kompleks membeli-belah menggunakan tema-tema khusus apabila memilih prospek bagi menyewakan unit-unit kedai di dalamnya.
Justeru ada kompleks yang khusus dibuka hanya kepada bisnes komputer sahaja. Terdapat beratus kedai yang semuanya hanya menjual segala macam peralatan komputer di kompleks Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Walaupun semua kedai-kedai di situ menjual item yang serupa, semuanya untung belaka, tidak ada yang gulung tikar.
Ada kompleks yang disewakan kepada penjual pakaian orang muda sahaja, ada untuk pakaian orang kaya sahaja, ada untuk jualan makanan dan restoran sahaja. Ada pula deretan kedai-kedai yang disewakan kepada workshop, alatganti dan aksesori kereta sahaja.
Ada pula kawasan tepian jalan yang disewakan kepada nurseri bunga sahaja, ataupun penjual kereta terpakai sahaja, ataupun penjual buah-buahan ataupun lemang sahaja.
Kompleks bisnes bertema dibuka oleh pemilik kompleks dengan objektif mahu mencipta ’supermarket effect’ ke atas minda pelanggan.
Bagi orang yang tidak tahu tingkah laku pengguna, mereka sangka apabila mereka tidak mempunyai banyak pesaing, maka itu adalah situasi yang bagus. Sangkaan ini meleset dalam bisnes retail barangan konsumer. Sebenarnya, semakin banyak pesaing, semakin bagus bisnes di situ, disebabkan pembeli mahukan pilihan yang banyak dan semakin banyak.
Buku adalah produk konsumer. Jika buku Melayu hendak masuk MPH, Kinokuniya, Borders dan Popular, buku-buku Melayu mesti masuk dengan judul yang banyak.
Kemasukan judul yang banyak dapat memaksa pengurusan kedai-kedai itu membuka departmen khas bagi mempamerkan buku-buku Melayu. Jika tidak, buku Melayu yang cuma seketul dua itu akan diletakkan terselit-selit antara buku-buku Inggeris di bawah koleksi “Malaysiana”. Akibatnya orang pun tidak perasan akan adanya buku Melayu dalam kedai-kedai itu.
Dalam department Melayu itu, buku-buku Melayu mesti banyak, supaya buku-buku itu dapat disusun mengikut rak-rak subjeknya, supaya ia mencipta ‘kesan supermarket’. Jika judul Melayu tidak banyak, apa yang berlaku, semua buku Melayu dilonggokkan di satu rak kecil, dan diletakkan di bahagian belakang kedai, di depan pintu tandas!
Sejak ditubuhkan 50 tahun lalu, dianggarkan DBP sudah menerbitkan hampir 20 ribu judul buku Melayu. Kalau buku-buku DBP dibekalkan ke kedai-kedai buku utama, jumlahnya sudah dapat mencipta ‘kesan supermarket’ bagi buku-buku Melayu.
Tetapi buku-buku DBP tidak masuk MPH, Kinokuniya, Borders, Popular ataupun Times!
Jadi, tanpa dukungan DBP, bagi menjual buku-buku PTS melalui rangkaian kedai-kedai utama itu, penerbit kecil seperti PTS terpaksa mencipta ‘kesan supermarket’nya sendiri dengan cara gila-gila menerbitkan banyak judul Melayu bagi memaksa kedai-kedai itu membuka department Melayu.
Sekarang, buku Melayu sudah masuk rangkaian kedai buku elit, tetapi kita belum dapat mencipta rak-rak subjek. Semua judul buku Melayu dilonggokkan berampur-campur disebabkan, jika diberi rak khas, jumlah buku bagi setiap subjek belum dapat memenuhkan raknya sendiri, kecuali bagi novel cinta dan buku agama.
Isu tidak cukup judul tidak mungkin dapat ditangani oleh PTS sendiri. Industri buku Melayu menghendaki lebih banyak penerbit yang dapat bersama-sama mengisi department buku Melayu supaya ia menjadi bertambah besar lagi.
Semakin banyak judul Melayu, semakin luas ruang dalam kedai yang dapat diberikan kepada buku Melayu, dan semakin ramai pelanggan tertarik masuk ke departmen Melayu bagi menengok-nengok buku apa yang di situ.
Strategi mencipta kesan supermarket bukan hanya diperlukan bagi buku Melayu secara am, malah ia perlu bagi setiap subjek.
Sebagai contoh, di MPH kita sudah diberi rak khas bagi mempamerkan semua novel remaja PTS, tetapi kita masih belum dapat rak khusus kepada novel jibunsyi disebabkan jumlah novel itu belum cukup bagi memenuhkan 1 rak khas. Akibatnya jibunsyi PTS masih terselit-selit antara novel-novel cinta, ataupun antara buku-buku PTS yang lain!
“Hidup Buku Melayu!”
.
1 Komen :
Tahniah di atas keberanian dan pandangan jauh PTS. Saya membeli novel Ashadi Zain di Popular Kota Bharu akhir bulan lepas. Novel ini memang diletak di atas rak yang berasingan daripada novel-novel remaja.
Post a Comment
<< Home