Saturday, October 21, 2006

Penulis Inggeris Tempatan dan Pasaran Dunia

Salah satu mindset penulis tempatan yang fasih berbahasa Inggeris adalah pasaran Inggeris itu satu dunia luasnya, justeru dengan menulis buku dalam bahasa Inggeris bukunya itu dapat dipasarkan ke seluruh dunia.


Pola pikir begini tidak mengambil kira banyak fakta. Pertama-tama, katakanlah saudara hendak menulis buku motivasi, coba lihat, sudah ada berapa ratus judul buku motivasi yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris di USA dan di UK. Apa peluang buku saudara dapat diterbitkan oleh penerbit-penerbit itu?

Kata pepatah Melayu, mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.


Pasaran buku-buku Melayu dalam negeri adalah cukup bagi tujuan hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa, tetapi kita tidak mahu menulis buku Melayu sebab pasaran buku Inggeris sebesar dunia. Strategi mengejar pasaran satu dunia dengan menulis buku dalam bahasa Inggeris adalah ibarat mengejar kelip-kelip yang disangka api.


Tahun 2005, jumlah syarikat penerbit tempatan yang buku-bukunya dipilih untuk tender oleh Perpustakaan Negara Malaysia adalah 60 sahaja. Bagi tahun 2006, jumlah syarikat penerbit itu naik lebih 3 kali lipat menjadi 200 buah!


Tidak mungkin jumlah penerbit buku Melayu meningkat begitu mendadak jikalau para pelabur itu tidak boleh buat duit dengan menerbitkan buku-buku Melayu.

.