Tuesday, October 17, 2006

Buku Melayu dan Segmentasi Rancangan TV

Adakah buku-buku Melayu dibeli dan dibaca oleh Melayu dan bukan Melayu?

Dapatkah industri buku belajar dan mencontohi bagaimana stesen TV mengkategorikan penonton sasarannya?

Ambil sebagai contoh, Media Prima, syarikat induk yang memiliki 4 stesen TV, yakni TV3, TV9, V8 dan TV7 mengkhususkan kandungan siarannya berdasarkan kategori penonton seperti berikut:

(a) Kandungan TV3 adalah ditujukan untuk golongan Melayu urban yang nilai-nilai Melayu-Islamnyanya sudah cair.

(b) Kandungan siaran TV9 adalah ditujukan untuk Melayu urban yang nilai-nilai Melayu-Islamnyanya masih kuat.

(c) TV8 ditargetkan kepada golongan yang “very urban”, tanpa mengira Melayu ataupun bukan Melayu. Justeru kita dapat melihat adanya program-program yang setanding dengan negara-negara maju daripada sudut citra moralnya.

(d) Kandungan NTV7 pula dikhususnya kepada isu-isu global.

Dalam industri buku Melayu, para penerbit tidak berfikir seperti syarikat TV. Ambil dalam kes memilih desain kulit buku: penerbit tidak membuat kajian perbezaan citarasa warna antara pelbagai kelompok pembeli buku.

Sesetengah warna dan desain hanya digemari oleh sesuatu kelompok tetapi tidak oleh kelompok lain. Ambil sebagai contoh, perempuan Cina tidak memakai baju yang diperbuat daripada kain bercorak bunga-bungaan, ataupun bahan yang kilat-milat, sedangkan perempuan Melayu amat menyukainya.

Perempuan Melayu kampung dan golongan pendapatan rendah di bandar suka bahan pakaian yang menggunakan warna-warna yang garang dan terang benderang, manakala wanita Melayu urban dan profesional tidak menyukainya.

Perempuan Melayu, baik yang urban, profesional ataupun kelas bawah, semua suka frill pada pakaian mereka, seperti sulaman ataupun labuci. Ini sama sekali tidak disukai oleh perempuan Cina.

Perempuan Cina suka kain yang menggunakan warna plain, kosong, tidak kilat, yakni lebih menyerupai warna kain pakaian lelaki. Hanya perempuan Cina tua yang memakai kain bunga-bunga, itu pun dalam warna kelam dan bunganya kecil-kecil!

Lelaki Melayu ’sanggup’ memakai warna-warna perempuan: merah, kuning, biru, hijau yang terang dan garang, tetapi hanya apabila mereka memakai baju Melayu ataupun batik. Lelaki Cina tidak akan melakukan ini. (Cuba lihat towkay-towkay Cina yang memakai batik apabila naik ke Genting bagi masuk kasino, mereka memakai batik Indonesia!)

Bagaimanakah maklumat warna seperti ini dapat dimanfaatkan apabila penerbit hendak memilih pakeging buku-buku Melayu?


.