Saturday, August 06, 2005

Belajar Jadi Penerbit

Jika saudara berangan-angan hendak menerbitkan buku saudara sendiri, jalan fikir saudara lazimnya begini:

1. Cari orang yang boleh mengedit dan membuat layout buku saudara itu dan bayar dia. Lazimnya saudara mencari kenalan yang bekerja sebagai editor ataupun artis layout di mana-mana syarikat penerbitan untuk membuat layout buku saudara.

2. Cari pelukis kulit buku dan minta dia mencipta kulit buku itu, dan bayar dia. Lazimnya editor itu dapat mencarikan artis tersebut di kalangan rakan sekerjanya. Minta pelukis ataupun editor itu tolong uruskan pembuatan filem buku itu dan bayar pembuat filem.

3. Hantar filem kepada pencetak dan runding harga percetakannya. Arahkan pencetak supaya menghantar buku yang sudah siap dicetak ke pejabat saudara, kalau ada ruang di situ, kalau tidak, hantar ke rumah saudara.

Eureka! Saudara sudah memulakan perniagaan saudara dalam dunia penerbitan buku.


Kemudian apa saudara hendak buat, garaj kereta saudara sudah penuh dengan bungkusan buku? Saudara mencari pengedar buku dengan sangkaan pengedar akan mengambil semua buku itu dan disimpan di stor pengedar sementara menunggu buku-buku itu habis dihantar ke kedai-kedai di seluruh negara.

Saudara pun pergi ke pengedar dengan membawa naskhah contoh bagi ditunjukkan kepadanya.

“You hantarlah 10 naskhah,” kata pengedar.

“Apa?” kata hati saudara, macam tak percaya. “10 naskhah! Aku ada 3 ribu naskhah berlonggok di depan pintu rumah!”

Maka bermulalah pelajaran pertama bagi saudara sebagai seorang yang baru pertama kali menerbitkan buku.