Siapa Beli Buku Motivasi?
Penulis buku adalah orang-orang yang menyimpan keyakinan bahawa karya mereka mampu mengubah dunia! Dengan keyakinan itu mereka mendapat semangat bagi menghasilkan karya mereka.
Saudara mungkin menulis buku motivasi “PANDUAN HIDUP BAHAGIA” disebabkan saudara mahu menolong pasangan-pasangan yang tidak bahagia supaya menggunakan petua-petua yang diterangkan dalam buku saudara. Mudah-mudahan hidup mereka akan bahagia selepas membeli dan membacanya.
PTS pernah membuat pemerhatian secara langsung. Dalam suatu majlis pelancaran buku-buku Dato' Dr. Fadhilah Kamsah yang bertajuk “MENJALIN HUBUNGAN BAHAGIA” di MPH Wangsa Maju, 100% pembeli buku itu adalah wanita-wanita muda yang datang bersama suami dan pasangan-pasangan itu adalah pasangan bahagia! 90% buku itu dipilih oleh si isteri dan dibayar oleh si suami.
Nampaknya, buku-buku panduan hidup bahagia dibeli oleh mereka yang menikmati hidup bahagia. Begitu juga halnya dengan buku-buku motivasi. Buku-buku itu dibeli oleh individu-individu yang sudah bermotivasi tinggi membangunkan dirinya.
Apa sudah jadi dengan tujuan si penulis menulis bukunya?
Maklumat ini ada implikasinya kepada saudara yang akan menulis buku. Apabila buku panduan hidup bahagia dibeli dan dibaca oleh mereka yang bahagia, saudara jangan menyenaraikan pelbagai masalah rumahtanggan dalam buku saudara! Itu bukan halua mereka.
Wanita-wanita yang bahagia mahu menyemak apakah perkara-perkara yang selama ini mereka lakukan itu sudah betul? Mereka mencari confirmation. Mereka mencari approval. Mereka mencari bukti-bukti mereka pandai membahagiakan suami mereka. Jadi senaraikan perkara-perkara yang betul. Wanita yang bahagia tidak membaca buku untuk mencari di mana salah silapnya tingkah laku mereka. Namun banyak buku-buku motivasi dipenuhi dengan senarai apa yang tidak betul.
Pasangan yang tidak bahagia tidak masuk kedai buku. Jadi, jangan buang masa menulis buku untuk dijual kepada mereka.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home