Friday, August 05, 2005

Siapa Buat Untung Lebih

Penulis yang sudah banyak menerbitkan buku pun kebanyakannya yakin bahawa penerbit adalah pihak yang paling untung dengan menerbitkan karyanya.


Logik penulis senang sahaja! Harga bukunya RM20. Royaltinya 10% iaitu RM2. Penerbit dapat 90% iaitu RM18!


Menggunakan logik ini banyak penulis yang menyimpan rasa tidak puas hati terhadap penerbit mereka. Mereka berasa perjanjian penerbitan yang ditandatangani dengan penerbit lebih menguntungkan penerbit. Inilah faktor yang menyebabkan ada penulis novel yang mengambil keputusan menerbitkan novel mereka sendiri.


Siapakah yang hidup bergantung kepada buku saudara?


Para pengedar menerima potongan 45%

Pencetak menerima 25%

Pengurusan: pengangkutan, penstoran, penjualan dan editorial 15%

Royalti 10%

Margin untuk penerbit: 5%! (penulis dapat lebih daripada penerbit!)


Mengapakah pengedar menerima 45% diskaun? Sebab pengedar memberi 35% diskaun kepada pekedai dan 'runners'. Kedai memberi diskaun 10% kepada pembeli.


Jika penerbit hanya mendapat 5% margin, bunyinya macam tidak berbaloi melabur modal besar menubuhkan syarikat penerbitan. Margin yang kecil itu adalah daripada sebuah buku. Penerbit yang besar menerbitkan ratusan, malah ribuan buku. Jumlah 5% daripada jumlah jualan ratusan judul setiap tahun adalah cukup bagi membolehkan penerbit hidup selesa.