Wednesday, August 03, 2005

Memilih Perkataan untuk Judul Buku

Salah satu judul buku yang mendapat sambutan hangat di pasaran sekarang adalah "Menjejaki JUTAWAN Senyap" terbitan penerbit Al-Ameen. Salah satu judul buku yang tidak mendapat sambutan adalah "Masalah Keruntuhan Akhlak Remaja Melayu".

Banyak buku yang kandungannya baik tidak laku dijual semata-mata disebabkan penerbit silap memilih judul bagi buku itu. Penerbit-penerbit kecil yang baru mula menceburi perniagaan penerbitan buku biasanya tidak mengubah judul asal buku itu sebagaimana yang dicipta oleh penulisnya. Mereka masih baru oleh itu pengetahuan mereka tentang bidang penerbitan buku amat sedikit.

Lazimnya para penulis tidak menggunakan maklumat apabila mencipta judul untuk buku yang mereka tulis. Itulah sebabnya banyak judul buku yang dicadangkan oleh penulis ditolak oleh penerbit.

Penulis lazimnya memilih judul yang pada pandangan mereka dapat dengan tepat mencerminkan isi kandungan buku. Sebagai contoh buku yang ditulis berkenaan pelbagai masalah yang dialami oleh ibu-ibu tunggal mungkin diberi judul "RANJAU-RANJAU IBU TUNGGAL". Memang judul ini memberikan gambaran tepat berkenaan isi kandungan buku itu tetapi penerbit akan menolaknya.

Perkataan RANJAU dan IBU TUNGGAL tidak mempunyai nilai komersial. Contoh perkataan yang tinggi nilai komersialnya adalah JUTAWAN sebab ramai orang berangan-angan hendak menjadi jutawan! Jika buku "Menjejaki JUTAWAN Senyap" itu diganti dengan tajuk "RANJAU-RANJAU dalam Dunia Perniagaan", insya Allah jualan buku itu tidak laris walaupun daripada sudut isi tajuk kedua ini memberikan gambaran yang lebih tepat.

Buku dijual sebagai satu 'pakej'. Isi kandungannya mesti memenuhi keperluan pembaca sasaran. Judulnya mesti mempunyai nilai komersial. Wajah kulit dan wajah dalamnya juga mesti menarik. Blurp pada kulit depan dan kulit belakang mestilah dapat meyakinkan pembeli bahawa dengan membeli buku itu ia adalah suatu pembelian yang menguntungkannya.

Judul buku dibina dengan menggunakan beberapa patah perkataan sahaja. Lebih sedikit jumlah perkataan itu lebih baik. Mengapa? Jika judul buku panjang ia terpaksa menggunakan saiz huruf yang kecil, kalau tidak judul itu tidak muat dituliskan pada kulit buku yang terhad. Judul yang kecil tidak dapat dibaca oleh pelanggan yang masuk kedai dan harus membacanya dari jarak jauh.

1 Komen :

At 5:13 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Tang tu saya setuju.

Satu lagi buku hebat yang mesti dibaca ialah Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber!

Ia sebuah buku panduan membina perniagaan di internet.

 

Post a Comment

<< Home