Tuesday, August 02, 2005

'Penulis Pandai'

Penulis-penulis yang pandai banyak menghasilkan buku-buku yang penerbit tidak berani hendak menerbitkannya disebabkan dua perkara:

1. Buku yang mereka tulis itu tidak mempunyai pasaran. Ini disebabkan penulis-penulis pandai secara bawah sedar mereka menulis atas dorongan hendak membuktikan dirinya seorang yang mempunyai kepandaian, bukan bagi memandaikan pembaca. Maka sibuklah dia menunjukkan kepandaiannya di dalam bukunya itu.

2. Ramai 'penulis pandai' susah dibawa berunding berkenaan buku yang mereka tulis. Salah satu sifat yang kerap ditemui ada pada penulis pandai yang baru sekali hendak menerbitkan bukunya adalah dia tidak membenarkan bukunya diedit, kecuali bagi membetulkan ejaan sahaja.

Jika bukunya setebal 400 halaman dia mahu buku itu kekal 400 halaman, dia tidak benarkan mana-mana bab ataupun bahagian pada buku itu dicabut ataupun dibuang supaya kurang tebal. Jika bibliografinya sepanjang 30 halaman, dia mahu bibliografi itu kekal begitu. Macam-macam bantahan dikemukakannya, maklumlah orang pandai memang pandai mengemukakan pelbagai rasional bantahan.

Buku setebal 400 halaman hanya dapat dijual pada harga RM38 ataupun lebih. Penerbit manakah yang berani menerbitkan buku yang semahal itu? Kalau nak cepat tutup perniagaan, bolehlah!

Ada penulis pandai yang menghantar manuskrip bukunya dalam bentuk yang dia sudah siap buat layoutnya.

"Tak payah buat apa-apa lagi, print saja!" si penulis pandai memberitahu penerbit.

Ada penulis pandai yang mahu supaya penerbit membayar kepadanya kos layout yang sudah dibuatnya itu jikalau hendak menerbitkan bukunya. Harganya dia sendiri yang tentukan pula!

Penerbit yang kredibel tidak mahu menerbitkan buku yang layoutnya dibuat oleh orang luar. Setiap penerbit mempunyai spesifikasi khusus bagi setiap kategori buku yang mereka terbitkan. Buku-buku dalam kategori yang sama mestilah terbit dalam ukuran saiz yang sama. Jika buku-buku dalam sesuatu set itu berlainan saiz, apabila dibungkus, bungkusan mudah pecah!

Perwajahan buku adalah amat mustahak. Buku-buku dalam kategori yang sama diterbitkan dengan perwajahan khusus. Sebagai contoh, buku-buku profesional untuk bacaan orang sibuk lain spesifikasi teknikal perwajahannya daripada buku-buku teks pengajian tinggi.

Kalau saudara seorang penulis baru, jangan termasuk perangkap 'penulis pandai'.

2 Komen :

At 10:26 AM, Blogger rastom Berkata ...

masalah betullah jadi orang pandai", macam mana nak jadi "penulis bodoh".?

 
At 3:00 PM, Blogger Unknown Berkata ...

penulis bijak, bukan pandai..

 

Post a Comment

<< Home