Buku Baik Tapi Tidak Laku
Isi kandungan buku yang baik dan berguna tidak menjamin buku itu laku. Tidak hairanlah apabila buku-buku yang menang anugerah itu dan anugerah ini jarang sekali mengalami peningkatan jualan selepas kemenangan itu diisytiharkan.
Laku ataupun tidak sesebuah buku itu ditentukan oleh banyak faktor. Antara faktor-faktor itu adalah kesanggupan penerbit menjalankan aktiviti promosi dan pemasaran.
Apabila buku saudara sudah diterbitkan, apakah strategi promosi dan pemasaran yang digunakan oleh penerbit bagi meningkatkan jualan buku saudara itu?
Penerbit-penerbit kecil lazimnya tidak menjalankan usaha promosi dan pemasaran oleh itu mereka tidak melabur dalam pembiayaan kos promosi dan pemasaran disebabkan modal perniagaan mereka yang terbatas. Oleh itu mereka hanya berusaha menjual sahaja. Tanpa promosi yang kuat jualan tidak dapat ditingkatkan.
Ada pula penerbit besar yang mampu membiayai kos promosi, sayangnya strategi promosi yang mereka gunakan bukan strategi berkesan. Sebagai contoh mereka melaburkan banyak wang bagi mengadakan majlis pelancaran buku, sedangkan kajian mendapati tidak terdapat perkaitan langsung antara gaya majlis pelancaran buku yang dijalankan di negara kita ini dengan peningkatan jualan buku yang dilancarkan itu!
Strategi menjemput 'orang besar' bagi melancarkan buku adalah strategi yang paling membazir apabila diukur dari sudut keberkesanan jualan buku.
Selepas majlis pelancaran, wartawan akan bertanya kepada orang besar itu soalan-soalan yang tiada kaitan langsung dengan buku yang dilancarkan. Wartawan pun tidak ambil pusing hendak menulis berkenaan buku itu ataupun pengarangnya. Jadi orang besar itu yang mendapat banyak 'perbatuan' dalam media massa, bukan buku itu.
Paling-paling ayat laporan akhbar itu berbunyi lebih kurang begini, "Tan Sri Si Fulan membuat kenyataan itu dalam majlis pelancaran buku "anu-anu" yang diadakan kelmarin....." Selebihnya semua cerita Tan Sri Si Fulan dan kementerian yang di bawah jagaaanya.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home