Penulis Belum Ada Nama
Salah satu faktor yang menyebabkan saudara tidak yakin hendak menulis buku adalah faktor 'belum ada nama?"
"Saya belum ada nama. Kalau saya tulis buku, boleh lakukah buku saya itu?" Inilah soalan yang kerap dikemukakan oleh mereka yang baru pertama kali menghadiri kursus penulisan.
Di sebalik pertanyaan itu adalah sangkaan bahawa hanya buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis terkenal sahaja yang diminati oleh pembaca, oleh itu dapat dijual. Sangkaan ini salah.
Memang penulis terkenal mempunyai ramai peminat, sebagai contoh Norhayati Berahim. Novel-novel beliau amat laku di pasaran. Tetapi sebelum beliau terkenal, beliau adalah penulis yang tidak terkenal sewaktu menerbitkan novelnya yang pertama.
Saudara mesti menerbitkan buku-buku saudara dahulu, baru kemudian saudara menjadi penulis terkenal. Bukan sebaliknya.
Ramai penulis yang nama mereka terkenal tetapi buku-buku mereka tidak laris di pasaran. Mereka terkenal disebabkan mereka menang hadiah dan anugerah, oleh itu nama dan gambar mereka terbit dalam media massa. Empat lima orang yang duduk dalam panel penilai menilai karya penulis-penulis terkenal itu sebagai baik, tetapi pembeli di kedai berlainan pendapat.
Ramai pula penulis yang nama mereka tidak terkenal tetapi buku-buku mereka laku, oleh itu pendapatan royalti mereka tinggi. Hanya orang-orang yang membaca buku mereka sahaja yang tahu nama mereka. Malah rupa paras penulis itu pun tidak pernah diketahui oleh peminat buku mereka disebabkan mereka tidak pernah tampil di khalayak radio, tv ataupun akhbar dan majalah.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home