Penulis Bangkit!
Pernahkah saudara mengikuti kursus berkenaan harta intelek yang disampaikan oleh peguam yang pakar dalam bidang itu?
Ada beberapa perkara di mana kita semua sebagai penulis mesti bangkit dan berjuang bagi mempertahan hak-hak kita.
Cuba saudara baca hati-hati setiap klausa yang tercetak dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit saudara. Semak perkara-perkara di bawah:
1. Adakah hakcipta karya saudara dipindahkan kepada penerbit, ertinya bukan saudara punya lagi? Kalau ya, adakah saudara menyetujui perkara itu sejak awal lagi? Ertinya saudara hanya dibayar sekali sahaja.
2. Jika hakcipta masih milik saudara, itu bermakna saudara hanya menyerahkan HAK MENERBITKAN karya saudara sahaja yang saudara berikan kepada penerbit. Ertinya saudara dibayar royalti. Tiba di sini saudara mesti baca dokumen itu dengan hati-hati! Berapa lama tempoh penyerahan hak menerbitkan itu yang disebutkan dalam perjanjian saudara? 3 tahun? 5 tahun? selama-lamanya?
Sepanjang yang saya tahu, adalah menjadi kelaziman di kalangan penerbit Malaysia mengambil hak menerbitkan karya penulis buat selama-lamanya, termasuk penerbit-penerbit yang besar-besar. Saya mungkin salah, tetapi saudara periksalah sendiri apakah maklumat saya ini betul.
Ertinya kalau penerbit itu tidak pandai menjual buku saudara sekalipun, ataupun dia tidak mahu mengulangcetak buku saudara, saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara kepada penerbit lain, meskipun hakcipta karya itu adalah milik saudara.
Kita para penulis mesti bangkit dan mempertahankan hak-hak kita. Kita mesti meletakkan syarat bahawa tempoh hak penerbitan itu adalah 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh 3 tahun, jikalau kita berpuas hati dengan prestasi jualan buku kita, tempoh itu secara automatik disambung 3 tahun lagi. Jika kita tidak puas hati, kita boleh menulis surat mengatakan kita tidak mahu menyambung tempoh itu, dan secara automatik tempoh itu tamat di situ dan kita boleh mencari penerbit lain.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home