Friday, August 05, 2005

Tulis Buku untuk Orang Sibuk

Penulis-penulis baru lazimnya tidak yakin apabila diberitahu supaya menulis untuk pembeli sasaran yang terdiri daripada individu-individu yang sibuk, yang tidak ada masa mahu membaca buku.


Pada pendapat penulis muda, orang sibuk tidak mempunyai masa hendak membaca buku, jadi sangat tidak logik baginya menulis bagi bacaan orang-orang yang sibuk. Jika mereka tidak ada masa bagi membaca buku tentulah mereka tidak ada keperluan hendak membeli buku.


Kita kata: Tulislah buku yang DIBELI oleh orang yang sibuk. Kita tidak mengatakan tulis buku yang DIBACA oleh orang sibuk!


Orang-orang yang sibuk adalah orang-orang ang mempunyai wang lebihan bagi membeli apa yang mereka fikir mereka perlu beli. Mereka itu golongan yang mempunyai pendapatan tinggi. Mereka mampu membeli buku yang mereka fikir perlu mereka baca, walaupun akhirnya mereka mungkin tidak sempat membaca.


Orang yang tidak mempunyai banyak wang sama ada (a) tidak mampu membeli buku (b) mereka membuat salinan fotokopi buku, ataupun (b) mereka membaca buku yang dipinjam saja! Contoh orang yang tidak mempunyai wang tetapi membaca buku adalah pelajar maktab dan universiti.


Jika sekarang ini orang-orang yang sibuk tidak membeli buku Melayu, itu bukan salah mereka. Itu salah penerbit yang tidak menerbitkan buku-buku yang laku dijual kepada mereka. (Tentu sekali penerbit akan menyalahkan penulis yang tidak menulis buku-buku itu).