Friday, August 05, 2005

Bagaimana Meramalkan Jumlah Pembeli Buku

Seorang pegawai sebuah koperasi menghantar manuskrip bukunya yang bertajuk “Undang-undang Koperasi di Malaysia” dan dengan bersungguh-sungguh cuba meyakinkan penerbit supaya mahu menerbitkan bukunya.


“Buku seperti ini belum ada dalam pasaran,” katanya. “Di negara kita ada lebih 100 ribu anggota koperasi. Buku ini berguna kepada mereka. Kalau 10% sahaja yang membeli buku ini, sudah 10 ribu laku dijual.”


Begitulah jalan fikiran kebanyakan penulis baru. Logik 1% ataupun 10% tidak boleh digunakan dalam dunia bisnes.


Ahli-ahli koperasi tidak masuk kedai buku. Habis cerita.


Bukan hanya penulis baru yang cenderung membuat kesilapan apabila cuba meramalkan jumlah pembeli buku mereka. Sesiapa sahaja yang belum pernah berniaga kerap melakukan kesilapan logik 1% dan 10%.


“Di Malaysia ada 1 juta lelaki botak. Kalau 1% sahaja yang membeli ubat botak, kita sudah kaya!” kata seorang pembuat ubat botak yang diciptanya sendiri menggunakan bahan-bahan tradisional.


“Ubat botak ramuan tradisional belum ada dalam pasaran,” katanya lagi.


Logik “kalau sesuatu produk itu tidak ada dalam pasaran, maka produk itu tentu laku dijual” adalah logik orang yang belum berniaga. Banyak produk tidak ada dalam pasaran sebab produk seumpama itu memang sukar dijual!


Di manakah pula kesilapan logik 1% dan 10% itu? Silapnya adalah, statistik itu bukan diperoleh daripada sebarang kajian pasaran, sebaliknya ia datang daripada angan-angan semata-mata.


INGAT! Jika saudara hendak menulis buku, jangan tulis buku berdasarkan pertimbangan buku seperti itu tidak ada dalam pasaran. Kedua, jangan tulis buku disebabkan isi kandungan buku itu perlu dibaca oleh banyak orang. Majoriti orang yang memerlukan buku saudara itu tidak masuk kedai buku.