Pendapatan Penulis Buku
Dulu-dulu, pengarang yang bukunya dijadikan buku teks sahaja yang berpeluang merasa menerima royalti puluhan ribu setahun, seperti Shahnon Ahmad, Kris Mas, Usman Awang dan banyak lagi.
Penerbit Creative Enterprise mencipta sejarah apabila mulai tahun 90'an ia berjaya membolehkan beberapa orang pengarangnya menerima royalti melebihi angka RM100 hasil daripada jualan dalam pasaran terbuka.
Sekarang penulis-penulis novel remaja adalah penulis yang menerima royalti paling tinggi. Sebuah penerbit novel cinta mencetak 50 ribu naskhah pada cetakan pertama dan semuanya habis diambil oleh pengedar.
Sebelum tragedi tersungkurnya Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik UMNO, di kalangan penulis buku Melayu, penulis-penulis buku politik menerima pendapatan paling tinggi hasil daripada jualan karya mereka.
Penulis buku politik yang paling kaya adalah Syed Husin Al-Attas. Beliau mempunyai taman eksotik paling cantik di Lembah Janda Baik.Beliau juga terkenal baik hati dan pemurah.
Dulu, penerbit-penerbit kecil berebut-rebut hendak mendapatkan karya penulis-penulis politik disebabkan buku-buku gosip politik yang mereka tulis amat laris jualannya. Buku-buku gosip politik dibeli oleh semua golongan.
Pendapatan lumayan penulis politik datang daripada 2 sumber. Ada penulis politik yang mengharapkan pulangan daripada jualan buku mereka.
Ada pula yang mendapat bayaran daripada tokoh-tokoh politik yang mengupah mereka supaya menulis gosip-gosip tentang musuh politik mereka. Penulis jenis ini amat digeruni orang politik. Berbagai-bagai cara dilakukan oleh orang-orang politik supaya skandal mereka tidak masuk dalam buku akan datang penulis jenis ini.
Penulis politik yang menerima bayaran paling besar bagi menghasilkan sebuah buku adalah Khalid Jeffry dengan menuliskan buku “50 DALIL MENGAPA ANWAR TIDAK BOLEH MENJADI PERDANA MENTERI”. Ada gosip mengatakan pendapatan beliau daripada tugasnya itu adalah RM500 ribu, ada yang mengatakan RM250 ribu. Rekod yang beliau pegang ini sampai hari ini masih kekal berada dalam di tangannya.
Khalid Jeffry memegang satu lagi rekod dalam sejarah perbukuan di Malaysia. Beliau berjaya menghancurkan pasaran buku-buku politik di negara dengan terbitnya buku “50 Dalil” itu. Semenjak kesan pukulan maut daripada bukunya itu, pasaran buku-buku gosip politik masih tidak pulih sampai sekarang.
Tidak ada buku lain yang pengaruhnya ke atas sejarah politik Malaysia dapat mengatasi kesan ciptaan buku “50 Dalil”. Karya itu menyebabkan tercetusnya kemelut politik sebagaimana yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini. Karya itu juga menyebabkan pengarang buku-buku gosip politik sudah 7 tahun melepek.
Jika saudara hendak menjadi penulis buku-buku politik, tunggu sampai pasaran pulih, diramalkan itu akan berlaku dengan terbitnya buku politik karya Dato' Seri Anwar Ibrahim nanti.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home