Friday, August 05, 2005

Siapa Untung dalam Bisnes Buku Kanak-kanak?

Untuk mengetahui siapa yang mengaut keuntungan besar dalam industri buku kanak-kanak, kita perlu mengetahui dahulu peraturan-peraturan permainan yang dimainkan oleh pemain-pemian dalam industri ini.

Penerbitan buku-buku kanak-kanak adalah suatu sub-bidang industri buku yang mempunyai peraturan permainannya sendiri.

  1. Buku kanak-kanak tidak dapat dijual dengan harga tinggi. Mentaliti ibu bapa Malaysia adalah harga buku kanak-kanak mesti murah, kalau tak murah, mereka tidak mahu beli. Bagi menurunkan kos penerbitan, para penerbit buku terpaksa main cetak jumlah besar. Sekali cetak sekurang-kurangnya 10 ribu naskhah. Kalau satu naskhah kos cetaknya RM1.20 jumlah kos itu adalah RM12 ribu. Itu belum termasuk kos bayaran perolehan manuskrip, ilustrasi, editorial dan pengurusan.

  1. Pengedar buku kanak-kanak di Malaysia main diskaun besar. Pengedar terbesar bagi buku kanak-kanak dan bahan perpustakaan sekolah rendah mahukan diskaun sehingga 70%. Pengedar ini mempunyai sekitar 40 buah van. “Hendak, ambil. Tak hendak, tak apa!” kata pengedar itu dengan angkuhnya kepada penerbit-penerbit kecil yang tidak mempunyai keupayaan mengedarkan sendiri buku-buku terbitannya. Jika buku itu harganya RM5, selepas ditolak diskaun 70%, saudara menjual kepadanya dengan harga RM1.50 sen! Nak makan apa? Pengedar itu makan daging, saudara makan tulang.

  1. Hakcipta manuskrip buku kanak-kanak dibeli daripada penulis. Bayaran dibuat sekali, dan sekali itu sahaja. Ia dibeli dengan harga murah daripada mana-mana Mamat yang sanggup menulis manuskrip itu. Oleh sebab itu mutu cerita dan gaya penceritaan dan gaya bahasanya rendah.

  1. Ilustrasi buku kanak-kanak mesti empat warna, kalau tidak, kanak-kanak, ibu bapa dan guru-guru tidak mahu membelinya. Hakcipta ilustrasi buku kanak-kanak dibeli daripada pelukis. Bayaran dibuat sekali sahaja. Faktor ini menyebabkan mutu ilustrasi buku kanak-kanak di Malaysia tidak meningkat dari dulu hingga sekarang.

  1. Buku kanak-kanak yang empat warna dijual terus oleh wakil jualan langsung yang pergi dari sekolah ke sekolah. Apa bunyinya dialog yang berlaku antara wakil-wakil pengedar itu dengan wakil pihak sekolah, Tuhan sahaja yang tahu. Kita manusia cuma boleh mengajak.

Kementerian Pelajaran mencurahkan peruntukan pembelian buku perpustakaan sebanyak RM15 setahun bagi setiap kepala murid.

Kita hairan, dengan suntikan jarum kewangan yang begitu besar ke dalam industri penerbitan buku untuk bacaan pelajar, mengapakah industri penerbitan buku kanak-kanak dan remaja di negara ini tidak melahirkan penerbit-penerbit yang berupaya menerbitkan buku-buku berkualiti untuk dibekalkan kepada sekolah-sekolah kita.

Industri kicap dan burger yang tidak menikmati bajet per kapita dari kerajaan pun dapat melahirkan kilang-kilang kicap dan burger yang besar, bagaimanakah industri buku gagal melahirkan penerbit yang sedarjat dengan pembuat kicap dan burger?

Ke mana perginya wang suntikan itu?