Ustaz Mencuri Hakcipta
Cuba saudara baca buku-buku agama yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit tempatan. Ada dua perkara yang mudah saudara perasan:
1. Buku itu kecil-kecil, isinya berkenaan topik-topik konvensional dalam agama, seperti panduan-panduan beribadat dan cerita-cerita sirah. Ia dijual pada harga yang tidak lebih daripada RM20.
2. Gaya bahasanya ketinggalan zaman, gaya bahasa klasik, berbelit-belit, banyak mengandungi pengaruh bahasa Arab DAN terdapat kosa kata INDONESIA! Tapi nama pengarangnya nama orang Melayu Malaysia.
Penulis-penulis buku agama di Malaysia ini mempunyai beberapa ciri yang unik bagi masyarkat penulis:
1. Penulis buku-buku agama Malaysia adalah suatu komuniti yang paling aktif mencuri hakcipta penulis-penulis lain. Bukan semua mencuri, tetapi nisbah pencuri di kalangan mereka amat tinggi.
3. Sesetengah buku agama itu tidak mencetak nama pengarangnya. Jikalau buku itu sesungguhnya karya asli, sipengarang tentu mahu supaya namanya dicetak pada kulit buku-bukunya. Kesanggupan mengizinkan penerbit tidak mencetak nama pengarang adalah unik di kalangan komuniti penulis buku agama sahaja.
4. Sesetengah buku agama menyebutkan bahawa nama penulis itu adalah sebagai 'penyusun'. Dari mana dia mengumpulkan bahan-bahan yang disusun menjadi bukunya itu, kalau bukan bahan-bahan yang dihasilkan oleh orang lain?
5. Mereka paling suka menjual hakcipta kepada penerbit buku-buku agama. Jangan hairan jikalau ada ustaz pergi berjumpa penerbit dengan membawa 4 atau 5 manuskrip buku agama dengan tujuan menjual hakcipta mereka kepada penerbit itu.
6. Mereka adalah golongan penulis yang paling ramai ditipu penerbit.
Seorang penulis datang membawa 7 manuskrip bukunya kepada sebuah penerbit. "RM2 ribu untuk satu buku pun, cukuplah," katanya kepada editor yang ditemuinya.
"Kami tidak membeli manuskrip, ustaz. Semua penulis kami menerima royalti," editor itu menerangkan dengan rasa bangga akan dasar penerbitan syarikatnya. Muka ustaz itu menunjukkan emosi kecewa.
Dari segi psikologi, seseorang yang sangat tinggi dorongannya hendak menjual hartanya adalah disebabkan dia tidak meletakkan nilai yang tinggi kepada hartanya. Mengapakah penulis-penulis buku agama sangat hendak menjual manuskrip-manuskrip mereka? Sebab, manuskrip-manuskrip mereka itu bukan sebenar-benarnya sesuatu yang mereka hasilkan dengan penat lelah yang lazimnya dilalui oleh penulis-penulis tulen.
Buku-buku agama konvensional yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan mengandungi unsur-unsur bahasa Indonesia disebabkan banyak bahagian di dalam buku mereka berasal daripada bahan-bahan yang dicuri daripada buku-buku agama hasil karangan ataupun terjemahan yang dilakukan di Indonesia.
Salah satu faktor yang menyebabkan penulis-penulis agama tidak berasa berdosa melakukan perbuatan mencuri itu datang daripada salah anggapan di kalangan kita yang menyangka buku-buku agama adalah berbeza daripada buku-buku bukan agama.
Kita selalu mendengar ustaz-ustaz bercakap dalam ceramah bahawa segala sesuatu dilakukan oleh orang-orang mukmin dengan tujuan semata-mata kerana Allah. Jadi tidak mengapa jikalau karya-karya orang mukmin itu kita anggap sahaja sudah diwaqafkan kepada semua Islam, oleh itu bolehlah dipergunakan oleh orang-orang lain untuk mengaut keuntungan peribadi.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home