Buku dan Restoran Piza
Mengapakah 93% penerbit kecil tutup? Ada banyak faktor yang mendorong seseorang itu menceburkan diri dalam dunia penerbitan buku.
1. Penulis terkenal yang tidak puas hati menerbitkan buku-bukunya dengan penerbit lain lalu mengambil keputusan menerbitkan sendiri buku-bukunya. Kes seperti ini banyak berlaku. Sasterawan Negara A. Samad Said adalah kes paling klasik. Beliau tidak puas hati dengan prestasi Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penerbit buku-bukunya lalu mengambil keputusan menerbitkan sendiri. Yang terbaru adalah Norhayati Berahim, penulis novel cinta paling laris sekarang. Beliau yang sebelumnya menerbitkan dengan penerbit Creative, Alaf21 dan juga NZ, kini menerbitkan sendiri karya terbarunya.
2. Penulis yang gagal mendapatkan penerbit yang mahu menerbitkan bukunya lalu demi kepuasan, menerbitkan bukunya sendiri. Termasuk dalam golongan ini adalah penulis-penulis yang tidak berapa besar namanya oleh itu karya mereka belum tentu diterima oleh penerbit. Karya yang ditolak penerbit itulah yang diterbirtkannya sendiri.
3. Pembuat filem buku dan majalah yang hendak meluaskan perniagaannya. Mereka ini banyak membuat filem buku-buku dan majalah penerbit lain, lama-lama terfikir menjadi penerbit. Termasuk dalam kumpulan ini adalah pencetak, dan pengedar buku dan majalah yang hendak meluaskan perniagaannya.
4. Bekas pekerja dalam syarikat penerbitan buku ataupun majalah yang hendak memulakan penerbitannya sendiri. Mereka mungkin bekas editor, artis grafik ataupun bahagian lain dalam syarikat itu.
5. Orang dalam bisnes lain yang hendak meluaskan bisnesnya.
Saudara hendak menjadi penerbit buku? Mengapakah saudara hendak menjadi penerbit buku?
Salah satu faktor yang mendorong individu-individu yang tidak tahu menahu tentang bisnes penerbitan buku menceburi bidang ini adalah faktor “atas dorongan orang lain”. Ambil kes ini sebagai contoh. Seorang penulis dan penceramah agama mendorong rakannya menerbitkan karya si penulis itu dengan mengemukakan berbagai-bagai alasan yang menarik di mata si rakannya.
“Saya boleh bawa buku itu ke mana-mana sahaja saya pergi berceramah,” kata si penceramah. “Dalam satu ceramah kita boleh jual dua tiga ratus naskhah,” sambungnya. “Tak sampai 5 kali ceramah, sudah boleh jual 2 ribu naskhah.”
Si rakan pun mula mencongak dalam kepalanya. “Kalau satu buku untung RM2, dua ribu naskhah sudah untung RM4 ribu!”
Dia pun mengeluarkan modal RM6 ribu untuk mencetak 3 ribu naskhah buku si penceramah itu. Kemudian dia serahkan buku-buku itu kepada si penceramah supaya dapat dijual setiap kali dia berceramah. Selepas 6 bulan, buku entah ke mana, untung entah ke mana.
Adakah saudara seorang penulis yang buku saudara pernah laris dijual? Adakah saudara terfikir hendak menjadi penerbit buku-buku saudara sendiri?
Satu pesanan daripada tokoh-tokoh perniagaan: Orang yang pandai membuat pizza belum tentu pandai membuka dan menguruskan restoran pizza!
1 Komen :
You may eat like a pig. I don't.
Post a Comment
<< Home