Teori Penghasilan Novel Islami yang Indah
Artikel ini diulangsiar disebabkan yang original terbuang gara-gara hendak membuang spam honar.
Apabila saudara menulis novel Islami, berikut adalah formula bagi menghasilkan kisah yang indah. Ciri-ciri keindahan pada Kisah Yusuf adalah seperti berikut:
Jalan cerita Nabi Yusuf adalah panjang. Tempoh waktu kisah Nabi Yusuf adalah semenjak dia masih kecil sehingga dia dewasa, iaitu sehingga dia menjadi menteri di Mesir. Cuba lihat tempoh kisah Hang Tuah, ia serupa dengan ciri kepanjangan kisah Nabi Yusuf.
Watak utama dalam surah Yusuf adalah manusia yang ideal. Nabi Yusuf amat tampan dan baik. Bandingkan ini dengan Hang Tuah, manusia Melayu ideal bagi zamannya, dan dengan Superman yang juga watak ideal. Berdasarkan surah Yusuf sebagai model kisah indah yang dianjurkan dalam Islam, ini bermakna dalam novel Islami, orang jahat, seperti perompak, penjudi, pemabuk, pelacur, isteri nusyuz, lelaki dayus, penzina, ateis, pemimpin zalim, pembunuh diri, hipokrit, anak derhaka, pemalas, orang jahil, dan yang seumpama itu, termasuk simbol-simbol jahat seperti 'shit' tidak boleh dijadikan watak utama. Mereka hanya boleh dijadikan watak-watak pembantu yang berfungsi sebagai antitesis kepada watak utama.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa Tinggi, meskipun bagi dialog anak bayi. Seluruh surah Yusuf adalah dalam bahasa Arab Tinggi. Hikayat Hang Tuah menggunakan bahasa standard seluruhnya. Juga menarik adalah filem-filem tahun 60an yang menggunakan bahasa standard. Penggunaan bahasa standard dalam dialog mencipta kesan surrealisme. Afiks 'sur' dalam bahasa Perancis bermakna 'lebih tinggi dari yang real'. Daripada sudut ini, novel Islami tidak dapat dikategorikan sebagai tergolong dalam aliran 'realisme'. (Kita akan bincangkan aspek teoretis ini dalam artikel lain, sila tunggu).
Banyak watak. Dalam kiah Nabi Yusuf terdapat banyak watak sampingan dan banyak jenis-jenis watak, daripada raja sampai kepada hamba, daripada bayi sampai kepada orang tua, daripada watak baik sampai kepada watak jahat. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah dan jenis watak juga banyak.
Jalan cerita adalah kompleks. Banyak sub-plot (cerita-cerita kecil dalam cerita besar), sekurang-kuranya terdapat lima sub-plot besar dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah sub-plot adalah banyak, malah lebih banyak daripada jumlah sub-plot dalam kisah Nabi Yusuf.
Banyak jenis pengajaran. Pengajaran yang jelas dalam kisah Nabi Yusuf adalah yang baik dibalas baik, tetapi watak yang jahat tidak dihukum. Keinsafan datang dari dalam diri watak jahat itu sendiri. (Sila baca perbincangan kita tentang Hukum Karma dalam novel Islami dalam blog ini).
Enam ciri di atas kebetulan semuanya terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, maka tidak hairanlah mengapa karya itu berjaya mencapai taraf karya agung dalam sastera Melayu sehingga hari ini.
Nota: Kita tidak mengatakan semua unsur dalam Hikayat Hang Tuah dapat diterima oleh teori novel Islami, sebagai contoh, apakah episod pembunuhan Hang Jebat itu selari dengan teori novel Islami tidak kita bincangkan dalam konteks artikel ini. Tanpa mengatakan apakah Hikayat Hang Tuah itu contoh karya Islam ataupun tidak, kita tidak dapat menolak bahawa karya itu memiliki ciri-ciri keindahan selaras dengan yang terdapat dalam surah Yusuf.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home