Perempuan Sahaja Dapat Duit Perempuan?
Sebagai penulis, saudara perlu tahu maklumat-maklumat penting berkenaan tingkah laku pembeli buku dan bagaimana buku dijual oleh para penerbit supaya saudara dapat merancang buku-buku jenis apa yang menguntungkan apabila ditulis dan diterbitkan.
Bagi para penerbit buku, berlainan penerbit, berlainan strategi pemasaran yang mereka gunakan. Faktor ini pun saudara perlu ketahui supaya saudara dapat memilih penerbit mana yang saudara akan hantar manuskrip saudara itu.
Sebagai contoh, Alaf sangat pandai menjual novel-novel cintanya di kedai-kedai buku. Novel-novel cinta Alaf tidak kuat dalam sektor perpustakaan sekolah. Ini bermakna jika saudara hendak menghantar manuskrip novel saudara ke Alaf, saudara perlu memasukkan dalam novel saudara itu unsur-unsur yang dicari oleh pembeli novel yang masuk ke dalam kedai-kedai buku.
Di satu sudut lain, PTS kuat dalam sektor perpustakaan, baik perpustakaan sekolah, mahupun perpustakaan awam. Buku-buku terbitan PTS diterbitkan dengan memenuhi pelbagai kriteria pemilihan buku yang diamalkan oleh pustakawan dan guru-guru pusat sumber.
Sektor perpustakaan adalah sektor yang relatif kecil, oleh itu saudara tidak boleh hidup sebagai penulis sepenuh masa jikalau buku saudara hanya laku dalam sektor perpustakaan sahaja.
PTS sudah mula membangunkan produk-produk yang dapat dijual dalam kedua-dua sektor, iaitu sektor perpustakaan dan sektor kedai. Walau bagaimanapun, PTS tidak akan membangunkan produk-produk yang serupa kategorinya dengan novel-novel cinta ala-Alaf.
Jika saudara hendak menulis novel cinta, saudara digalakkan menanya pembaca novel-novel cinta, apa yang mereka suka baca dalam novel-novel yang mereka beli itu. Kita pernah membuat tinjauan kecil berkenaan mengapa pembaca novel cinta meminati karya-karya penulis perempuan. Majoriti respons yang kita perolehi adalah “Penulis perempuan lebih pandai menggambarkan emosi perempuan!”
Respons ini mempunyai implikasi ke atas produk yang ditulis untuk dijual kepada perempuan:
Perempuan mahu membaca ayat-ayat yang menggambarkan emosi-emosi perempuan, khususnya emosi perempuan terhadap lelaki. Penulis-penulis perempuan mempunyai kekuatan dalam sektor ini.
Bagaimana dengan persoalan, adakah perempuan mahu membaca ayat-ayat yang menggambarkan emosi lelaki? Bukankah lelaki adalah obsesi emosi perempuan? Jika ya, ini bermakna, produk-produk jenis ini masih belum dieksploitasi oleh pengarang dan penerbit novel-novel cinta.
Siapakah yang dapat menggambarkan emosi lelaki terhadap perempuan, melainkan penulis lelaki? Nah! Inilah jenis produk yang membolehkan penulis lelaki menikmati duit pembaca perempuan.
Adakah saudara penulis lelaki? Jika ya, PTS FORTUNA mahu berbincang dengan saudara!
2 Komen :
Satu isu yang menarik dicetuskan oleh Puan Ainon. Saya teringat kisah seorang penulis muda yang terkenal dilamar oleh sebuah syarikat penerbitan, tetapi berbekalkan syarat, dia perlu menggunakan nama samaran wanita walaupun namanya sudah gah seputar perbincangan sastera. Mengapa? Mungkin kerana faktor yang diketengahkan oleh Puan. (Penulis muda tersebut menolak tawaran syarikat penerbitan itu)
Saya juga fikir, mungkin kehadiran penulis lelaki, yang bijak mengekspresikan perasaan lelaki seperti serasinya penulis wanita mengekspresikan perasaan wanita, mampu memancing pembaca di kalangan lelaki, yang kita akui, amat sedikit alternatif bacaan novel santai yang sesuai untuk jiwa mereka.
Sedikit tambahan, saya kira, berdasarkan komen pembaca, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan watak Salsabila di dalam novelnya Tunggu Teduh Dulu. Dan ini mungkin boleh menjadi motivasi kepada penulis lelaki untuk bercerita di sebalik bayangan protagonis wanita (semestinya selepas melakukan pemerhatian dan penghayatan yang kuat).
Post a Comment
<< Home