Wednesday, December 28, 2005

Babak Romantis adalah Babak Terlarang dalam Sastera Islami

Tiga kisah cinta agung dalam Quran adalah Cinta Adam kepada Hawa, cinta Sulaiman kepada Balqis dan cinta Zulaikha kepada Yusuf. Kehadiran kisah-kisah cinta dalam Quran adalah indikasi bahawa kisah cinta dapat berfungsi sebagai salah satu alat menyampaikan mesej Islam.


Jadi, isu apakah novel cinta dapat dijadikan salah satu alat berdakwah, jawapannya tentu sekali, boleh. Jika tidak masakan dalam Quran terdapat surah Yusuf.


Kita berpendapat, model novel cinta Islami adalah kisah percintaan Zulaikha-Yusuf sebagaimana yang disampaikan melalui ayat-ayat surah Yusuf.


Dengan mengambil surah Yusuf sebagai model, maka dapat disedut suatu prinsip pada pemilihan ayat dalam sastera Islami, iaitu jenis kategori ayat-ayat yang dibenarkan bagi novel-novel cinta Islami adalah mematuhi kategori ayat-ayat dalam surah Yusuf.


Berdasarkan jenis-jenis ayat dalam surah Yusuf, novel cinta Islami tidak menerima ayat-ayat yang menerangkan fisik ketampanan lelaki mahupun kejelitaan perempuan - suatu hal yang menjadi ciri umum pada novel-novel cinta non-Islami.


Sebagai contoh, dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat fisik manusia, sehingga kita tidak diberitahu, umpamanya, apakah warna mata dan rambut Nabi Yusuf. Demikian juga halnya dengan fisik Zulaikha, kita tidak diberitahu apakah warna kulitnya ataupun bentuk badannya.


Demikian juga dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan pakaian yang dipakai oleh Yusuf mahupun Zulaikha, justeru pakaian watak-watak lain. Kita tidak diberitahu bagaimana pakaian yang dipakai oleh Zulaikha pada hari dia berjaya memerangkap Yusuf masuk ke dalam kamarnya.


Dalam novel-novel cinta non-Islami, pembaca bukan sekadar diberitahu ciri-ciri fisik watak-watak utamanya, malah turut diberitahu dengan detail pakaian watak-watak itu, terutama pakaian yang dipakai dalam babak-babak terlarang.


Kita lihat pula isu ayat-ayat yang digunakan bagi mencipta kesan romantis. Novel cinta sentiasa dikaitkan dengan babak-babak 'romantis'.


Apakah babak-babak romantis diterima oleh sastera Islam? Persoalan ini amat penting bagi para penulis novel cinta Islami.


Kembali kepada surah Yusuf, dalam surah itu tidak ada babak romantis seperti babak di mana lelaki dan perempuan duduk berdua, apatah lagi babak-babak yang lebih intim daripada setakat duduk berdua. Ini adalah indikasi bahawa novel cinta Islami menerima cinta sebagai materi cerita, tetapi ia menolak babak-babak romantis.



4 Komen :

At 7:58 AM, Blogger cenderawasih Berkata ...

Puan,
Bagaimana pula dgn buku2 yg mengajar hubungan suami isteri? Ada juga yang menyebut cara2nya. tak boleh dibacakah buku2 sprt itu?

 
At 8:40 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Eh! Eh! Betul juga!

Nanti, saya nak baca kitab hadis dulu...

Cikpuan tentu lebih tahu!

 
At 11:50 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Ayah saya ( allahyarham) pernah mengatakan bahawa , agama itu kalau di pelajari dengan hanya berpandukan kitab, ertinya tidak ada guru yang murshid, samalah seperti berguru dengan syaitan.pada pandangan saya, perkara ini adalah perkara munakahat yang memerlukan guru untuk belajar .Kalau tidak terjadilah perkara-perkara seperti sumbang muharam, zina dan sebagainya. Walau bagaimanapun ini sekadar pandangan.
Allah yang lebih mengetahui

 
At 12:10 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Zalisa,

Buku panduan hidup suami isteri tu termasuk dalam buku fiqah, yakni buku manual yang menerangkan apa yang halal dan apa yang haram dalam urusan bilik tidur. Boleh dibaca bagi tujuan belajar fiqah.

Bab buku novel, ini isu lain. Novel bukan buku fiqah. Jadi babak-babak romantis tak boleh dituliskan dalam novel.

Kalau belum jelas, mari kita tanya Ustaz Panaharjuna. (Tapi wajahnya tu tak macam wajah ustaz lak!)

 

Post a Comment

<< Home