Milik Siapa Nama Komersial?
Adakah saudara baru belajar menulis? Sebagai penulis baru, saudara perlu tahu hak-hak saudara ke atas harta intelektual yang saudara cipta, yakni buku saudara.
Katakanlah, dalam kad pengenalan saudara, nama saudara sekarang dieja AB. GANI BIN ABD. LATIP suatu ejaan yang dianggap berbau 'nama kampung'. Penerbit saudara mengubah ejaan nama saudara itu menjadi ABD. GHANI LATIFF yang dianggap lebih moden dan lebih sesuai bagi tujuan komersial.
Bolehkah penerbit saudara memaksa saudara menandatangani perjanjian penerbitan yang menyekat saudara daripada menggunakan ejaan ABD. GHANI LATIFF pada buku-buku saudara yang diterbitkan oleh penerbit lain?
Katakanlah, saudara dipaksa menggunakan nama komersial yang dicipta oleh penerbit itu, umpamanya nama komersial yang dicipta untuk saudara adalah ABDULLAH JONES. Siapakah pemilik nama komersial saudara itu, saudara ataupun penerbit?
Isu siapa yang memiliki hak penggunaan nama-nama komersial pengarang kini menjadi isu hangat di kalangan penulis-penulis novel cinta tanah air kita. Puncanya begini, baru-baru ini sebuah penerbit tempatan memasukkan klausa baru dalam dokumen perjanjian penerbitan yang menyekat pengarang daripada menggunakan nama komersialnya pada buku-bukunya yang diterbitkan oleh penerbit lain selepas menandatangani perjanjian itu.
Dari satu sudut, langkah itu adalah usaha penerbit bagi menjaga kepentingan bisnesnya. Dengan meletakkan klausa sekatan itu, diharapkan pengarang tidak akan lari ke penerbit lain. Tetapi dari satu sudut lain, klausa itu boleh menyebabkan pengarang yang sudah terkenal tidak mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit itu lagi.
Nama komersial adalah nama samaran. Nama samaran adalah suatu amalan lazim dalam semua sektor penerbitan, baik penerbitan buku, muzik, ataupun filem. Nama P. RAMLEE, SALOMA, KRU, dan MAWI adalah nama-nama samaran. Syarikat-syarikat penerbit muzik dan filem tidak pernah menyekat artis mereka daripada menggunakan nama samaran yang sama apabila menyanyi ataupun berlakon di bawah label penerbit lain.
Di PTS, ada pengarang yang menggunakan ejaan nama yang berbeza daripada ejaan nama mereka pada kad pengenalan. Ada juga yang menggunakan nama samaran. PTS tidak meletakkan klausa sekatan penggunaan nama-nama itu dalam perjanjian penerbitannya.
Strategi PTS bukanlah menjadikan pengarang takut hendak lari ke penerbit lain, sebaliknya adalah dengan cara-cara yang menjadikan pengarang-pengarang PTS tidak mahu lari ke penerbit lain.
2 Komen :
Puan Latifah,
Saya ada bercakap dengan Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 GAPENA, bahawa saya sanggup bercakap tentang Harta Intelek dan hakcipta kepada para penulis, tak payah bayar apa-apa! Tetapi barangkali beliau sibuk jadi belum ada sambutan. Kalau ada seminar barulah para penulis berpeluang mendapat maklumat yang betul tentang isu yang amat penting ini. Di PTS semua penulis diberi pendedahan undang-undang hakcipta dalam kursus yang mereka hadiri.
Insya Allah, bila-bila saya terjumpa orang-orang kuat GAPENA, saya akan sebut lagi tawaran saya itu.
Ya ya! Saya suka PTS. Mahu terbitkan Children's Picture Book saya?
La la la la la...
Post a Comment
<< Home