Tuesday, December 20, 2005

Gosip Terbaru Dunia Buku

Sebuah penerbit antarabangsa yang mempunyai cawangannya di negara ini mempunyai rancangan untuk menterjemahkan buku-buku bisnesnya ke dalam Bahasa Melayu secara besar-besaran selepas mereka mengkaji dengan teliti kejayaan buku-buku bisnes PTS. Pada masa ini penerbit itu sudah menerbitkan siri popular buku-buku bisnesnya tetapi kali ini usaha itu akan diperhebatkan lagi.

Daripada satu sudut, perkara ini baik kerana ia menguntungkan kepustakaan Bahasa Melayu dan pembaca Melayu. Daripada sudut lain, lambakan buku-buku terjemahan dari Amerika dapat mematahkan semangat penulis-penulis tempatan daripada menulis buku-buku bisnes karya asli dalam Bahasa Melayu.

Sebagai penerbit, ini bukan kali pertama kejayaan PTS mendorong pemain-pemain baru ikut masuk padang. Kejayaan buku-buku motivasi PTS sudah mendorong penerbit-penerbit lain menerbitkan judul-judul motivasi. Jadi kita tahu kejayaan buku-buku bisnes dan keusahawanan PTS akan mengulangi proses itu.

Sebagai penerbit, PTS akan terus berusaha dengan gigih menerbitkan buku-buku bisnes dan keusahawanan karya penulis-penulis tempatan berdasarkan 2 faktor:

a. Buku-buku terjemahan mengemukakan konteks dan contoh-contoh yang berlaku di luar negara sedangkan buku-buku yang ditulis oleh penulis tempatan mengemukakan konteks dan kes-kes tempatan. Kita yakin buku-buku penulis tempatan dapat bersaing atas faktor ini.


b. Kualiti bahasa buku-buku terjemahan lazimnya jatuh disebabkan mutu terjemahannya yang rendah, akibatnya buku-buku itu sukar dibaca. Ini berbeza dengan buku-buku karya asal yang bahasanya lebih mudah. Faktor ini pun sudah cukup bagi meyakinkan PTS bahawa buku-buku pengarang tempatan dapat bersaing dengan buku-buku luar negara dalam pasaran.


PTS sudah berkali-kali ditanya mengapa kita tidak menterjemah buku-buku Inggeris, yang dikatakan mutu kandungannya amat baik. Ada 3 faktor mengapa buku luar negara yang baik belum tentu cukup baik bagi menggantikan karya asli penulis tempatan:


a. Buku-buku yang ditulis oleh pengarang-pengarang Kristian dan Yahudi mengandungi nilai-nilai yang tidak selaras dengan nilai-nilai Islam. Sebagai contoh dalam buku-buku itu tidak mungkin ada prinsip-prinsip bisnes yang diterangkan dalam Quran dan hadis.


b. Buku-buku yang berasal daripada budaya Barat tidak mungkin mengandungi penerangan berkenaan peraturan-peraturan budaya tempatan yang amat mempengaruhi cara-cara bisnes dijalankan dalam negara ini.


c. Buku-buku yang ditulis di Amerika mengetengahkan wira-wira bisnes Amerika. Buku-buku Amerika itu tidak mungkin mengemukakan kejayaan tokoh-tokoh bisnes daripada kalangan kita sendiri, dengan itu pembaca tempatan tidak mempunyai model-model tempatan sebagai sumber inspirasi.


Apakah tidak mungkin dedikasi PTS dalam menerbitkan buku-buku bisnes hasil tulisan penulis-penulis tempatan mungkin sahaja dilihat dapat mengancam dominasi pengaruh nilai-nilai budaya bisnes Barat di kalangan pembaca Melayu? Kita sudah lihat bagaimana kesedaran akan dosa riba' telah mendorong perkembangan perbankan Islam di negara ini, sehingga bank-bank luar negara yang beroperasi di negara ini terpaksa membuka kaunter-kaunter perbankan Islam masing-masing.



1 Komen :

At 12:23 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Negara kita ketinggalan jauh dengan negara jiran Indonesia dalam bidang penterjemahan.

Tengoklah buku yang diterjemahkan, tersangat banyak. Inilah mungkin salah satu cara untuk mengembangkan Bahasa Melayu.

Penterjemahan buku akan membuka ruang untuk percambahan fikiran. Kita kurang diskusi yang intelektual sifatnya. Mungkinkah kerana kurangnya buku atau minat membaca?

 

Post a Comment

<< Home