Teknik Menerangkan Babak Terlarang dalam Sastera Islam
Berdasarkan surah Yusuf, sastera Islam membolehkan pengarang bercerita tentang berlakunya peristiwa-peristiwa durjana. Ini adalah berdasarkan adanya disebutkan cerita-cerita berikut dalam surah Yusuf:
1. Cerita pembunuhan Nabi Yusuf oleh abang-abangnya.
2. Cerita perbuatan anak durhaka oleh abang-abang Nabi Yusuf.
3. Cerita tentang perempuan yang curang terhadap suaminya pada peristiwa Siti Zulaikha cuba memerangkap Nabi Yusuf dalam kamarnya.
4. Cerita tentang perempuan-perempuan yang tergoda oleh keelokan rupa paras seorang lelaki pada peristiwa rakan-rakan Siti Zulaikha terpotong jari mereka sendiri apabila terpandang akan Nabi Yusuf.
Empat peristiwa itu membuktikan dalam sastera Islam, isu cerita adalah bebas dan terbuka. Tiada sebarang sekatan tentang apa yang boleh diceritakan dalam sastera Islam.
Malah dalam surah-surah lain terdapat cerita-cerita tentang orang-orang yang melakukan homoseksualiti seperti pada kisah Nabi Luth, cerita orang membunuh dengan cara membakar seperti pada cerita Nabi Ibrahim, cerita tentang kegagalan bapa dan suami mendidik anak dan isterinya supaya beriman seperti pada cerita Nabi Nuh, ada cerita tentang orang-orang yang pandai ilmu sihir seperti pada cerita Nabi Musa dengan tongkatnya, cerita lelaki yang kalah kepada pujukan perempuan seperti pada cerita Nabi Adam dengan buah khuldi untuk Siti Hawa, dan banyak lagi cerita tentang perbuatan-perbuatan dosa besar.
Jadi isu cerita adalah terbuka, yakni apa sahaja boleh diceritakan dalam karya sastera Islam. Jika demikian halnya, apakah yang tertutup dalam sastera Islam? Yang tertutup dalam sastera Islam adalah 2 perkara:
1. Teknik penceritaan. Dalam sastera Islam, ada teknik-teknik penceritaan yang dibenarkan, manakala ada teknik-teknik penceritaan yang tidak dibenarkan.
Sebagai contoh, sastera Islam tidak membenarkan pengarang menerangkan dengan detail rupa paras dan tubuh badan seseorang. Dalam surah Yusuf tidak ada ayat-ayat yang memberikan maklumat tentang rupa paras Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha. Sebaliknya, lihat bagaimana keelokan rupa paras Nabi Yusuf digambarkan secara tidak langsung, iaitu dengan menampilkan peristiwa rakan-rakan Siti Zulaikha yang terpotong jari mereka sendiri.
2. Babak-babak dalam peristiwa yang diceritakan. Dalam sastera Islam, ada jenis-jenis babak yang dibenarkan diceritakan dengan terperinci, manakala ada babak-babak yang tidak dibenarkan diceritakan dengan terperinci.
Sebagai contoh, babak bagaimana cara abang-abang Nabi Yusuf membunuh beliau tidak diterangkan dengan terperinci, hanya diceritakan bahawa mereka membawa Nabi Yusuf keluar jauh dari rumah dan di suatu tempat mereka mencampakkan Nabi Yusuf yang masih kecil itu ke dalam lubang, kemudian mereka membunuh kambing lalu melumurkan darah kambing itu pada baju Nabi Yusuf. Baju itu kemudian di tunjukkan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub, sebagai bukti kononnya Nabi Yusuf mati diterkam serigala. Bagi babak ini tidak ada ayat-ayat yang menggambarkan dengan terperinci tentang peristiwa pembunuhan itu. Ini memberitahu kita bahawa sastera Islam tidak membenarkan babak-babak di mana berlaku perbuatan dosa-dosa besar diterangkan dengan terperinci. Babak-babak durjana hendaklah diceritakan secara tidak langsung dan tidak terperinci.
Kita akan bincangkan dengan lebih lanjut isu apa yang diterima dan apa yang ditolak dalam sastera Islam dari masa ke masa.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home