Wednesday, December 21, 2005

Nama Siapa Lebih Besar: Nama Pengarang ataupun Nama Penerbit?

Kata Shakespear, “Bunga mawar itu tetap bunga mawar walaupun ia dipanggil dengan nama bunga tahi ayam!”

Norhayati Berahim si Ratu Cinta itu, tidak menggantikan nama kampungannya dengan nama komersial, namun novel-novel cintanya tetap laris walau siapa pun penerbitnya. Apa kurang kampungannya nama Ramli Sarip, si Papa Rock itu?

Kata seorang penerbit novel-novel cinta, penulis adalah umpama Micheal Schumaker, si drebar Formula-1 itu. Penerbit pula adalah umpama Ferrari, syarikat pembuat kereta lumba terbaik di dunia, yang membolehkan Schumaker menang perlumbaan. Analogi beliau itu menarik sekali.

Jikalau Micheal Schumaker menggunakan nama lain, apakah dia masih tetap dapat memenangi grandprix yang disertainya? Hal itu tentu sekali dipengaruhi oleh banyak faktor, seperti cuaca, keadaan kesihatannya pada waktu itu, keadaan balapan, dan tentu sekali faktor apakah dia diberi kereta Ferrari ataupun bukan.

Kalau begitu halnya dengan nama, mengapakah penulis-penulis novel cinta bising-bising apabila penerbit mereka memperkenalkan klausa baru dalam perjanjian penerbitannya baru-baru ini yang menyekat novelis-novelis itu daripada menggunakan nama komersial mereka apabila menulis untuk penerbit lain?

Benarkah nama komersial begitu berharga kepada bisnes si penerbit sehingga perlu dimasukkan klausa itu dalam perjanjian penerbitan? Yang jelas, nama penulis-penulis baru, apakah nama mereka itu nama berbau kampungan ataupun komersial, dapat menjadi nama besar disebabkan banyaknya kos dan risiko yang telah diambil oleh si penerbit bagi mengetengahkan karya-karya awal mereka.

Sebelum sesiapa pun kenal Norhayati Berahim, Creative mengambil risiko menerbitkan karya-karyanya. Apabila Norhayati Berahim meninggalkan Creative, kemudian berpindah ke Alaf21, kemudian meninggalkan Alaf21, kemudian berpindah ke NZ, kemudian meninggalkan NZ, dan sekarang menjadi pengarang 'self-publish', ketiga-tiga penerbit itu tetap rugi kerana tidak berpeluang menerbitkan novel-novel baru Ratu Cinta bernama kampungan itu.

Benarkah nama komersial begitu penting pada jualan novel baru si penulis sehingga mereka yakin, tanpa menggunakan nama komersial yang sama, novel-novel baru mereka tidak laku?

Dari segi undang-undang, katakanlah saudara menggunakan nama komersial ABDULLAH JONES dan saudara sudah telanjur menandatangani perjanjian penerbitan yang mengandungi klausa seperti itu, apakah yang dapat saudara lakukan jika saudara mahu menerbitkan novel baru saudara dengan penerbit lain?

Jikalau saudara anggap nama komersial saudara itu amat bernilai, paling mudah adalah dengan menukar sedikit sahaja ejaan nama komersial saudara itu. Gunakan ejaan ABDULLAH B. JONES ataupun JONES ABDULLAH atapun ABDULLAH JONNES ataupun apa-apa ejaan lain yang lebih kurang seperti itu. Peminat saudara tidak akan keliru bahawa semua nama-nama itu adalah nama penulis yang sama.

Nama yang terkenal hanyalah salah satu faktor yang mempengaruhi jualan novel. Faktor lain yang sangat penting adalah kekuatan penerbit.

Dalam dunia novel, nama Faisal Tehrani adalah nama besar berdasarkan banyaknya pelbagai hadiah yang dimenanginya, tetapi jualan novel-novelnya tidak dapat mengeksploitasi namanya yang besar itu disebabkan novel-novel beliau tidak diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang mempunyai cukup kekuatan bagi mempromosi dan mengedarkan karya-karyanya dalam pasaran.


Sebesar-besar nama Micheal Schumaker, beliau memerlukan enjin Ferrari apabila bersaing di atas balapan grandprix.




1 Komen :

At 9:18 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Puan Latifah,

Isu nama komersial ni nampaknya jadi isu hangat apabila novel-novel cinta berjaya membawa pulangan besar kepada penerbit. Salah sebuah penerbit novel cinta berjaya menaikkan nilai bisnesnya kepada RM20 juta setahun! Ini bermakna penerbit itu membayar royalti sekitar RM2 juta setahun kepada penulis-penulisnya.

Dulu tak timbul isu nama apa yang dicetak pada kulit buku. Tak pernah terfikir akan sampai pada waktunya apabila penerbit novel Melayu melihat nama pengarang sebagai strategi bisnes macam yang berlaku sekarang ini. Sebagaimana tak pernah terbayang akan muncul penerbit-penerbit tempatan yang berjaya menjadikan penulis novel Melayu kaya hasil royaltinya. Syukur! Syukur!

 

Post a Comment

<< Home