Friday, December 23, 2005

Lanskap Terkini Dunia Novel Cinta

Terlalu ramai penulis novel cinta, terlalu sedikit penerbit yang kuat dan kredibel. Inilah lanskap dunia novel cinta tanah air saat ini.

Jikalau saudara seorang penulis novel cinta yang terkenal, sudah mempunyai ramai peminat dan jualan setiap judul novel saudara melebihi 50,000 naskhah, jikalau saudara tidak puas hati dengan cara-cara bagaimana saudara dilayan oleh kakitangan bahagian editorial penerbit saudara sekarang, apakah pilihan saudara?

Pertama, kalau saudara memang memerlukan duit yang banyak, saudara perlu bersabar sahaja memandangkan penerbit saudara sekarang berupaya menjual novel saudara dengan begitu berkesan dan ia mempunyai rekod bersih di mana ia tidak menipu bayaran royalti saudara. Kalau saudara penulis baru, pilihan ini adalah yang terbaik. Dalam kategori ini tidak ada mana-mana penerbit yang dapat menandingi Alaf21 yang membayar royalti setiap 3 bulan sekali!

Kedua, saudara boleh menghantar manuskrip baru saudara kepada penerbit novel cinta besar lain, yang juga mempunyai keupayaan menjual novel saudara dalam jumlah puluhan ribu naskhah. Tetapi mungkin penerbit lain itu mempunyai amalan-amalan bisnes yang tidak berapa sesuai dengan jiwa saudara, sebagai contoh jikalau saudara penulis baru, saudara mungkin dikehendaki menjual kepadanya hakcipta saudara dengan harga serendah RM3 ribu sahaja.

Ketiga, saudara boleh pergi ke penerbit buku-buku umum tradisional seperti Rythm, Utusan dan Times, tetapi mereka tidak berani mencetak lebih daripada 5 ribu naskhah. Sebagai penerbit buku-buku umum, mereka mempunyai mindset tidak berani mencetak buku lebih daripada 5 ribu unit sekali cetak. Bagi saudara yang sudah pernah menikmati cetakan 30 ribu ataupun lebih, jumlah itu takkan menarik di mata saudara.

Keempat, saudara boleh menghubungi penerbit-penerbit novel cinta yang baru muncul, yang dimiliki oleh penulis novel cinta ternama seperti NB KARA milik Norhayati Berahim, ataupun INTENS MEDIA milik Fauziah Ashari, ataupun KaryaDya milik Aina Emir. Laman web KaryaDya sudah mengumumkan ia akan menerbitkan novel Mimie Afinie. Disebabkan para penulis novel-novel cinta saling berkawan-kawan sesama mereka, kita meramalkan tiga penerbit ini akan menerima banyak manuskrip daripada kawan-kawan mereka sendiri.

Kelima, saudara boleh pergi ke KAKI NOVEL, milik bekas eksekutif di Karangkraf yang berjaya menjual novel 'Bukan Cinta Biasa' karya Izzul Izzati, sebuah manuskrip yang pernah ditolak oleh sebuah penerbit besar. Salah satu faktor kejayaan Kaki Novel adalah kerana pemiliknya mempunyai pengetahuan teknikal yang luas tentang dunia penerbitan.

Keenam saudara boleh pergi ke NZ, penerbit yang mempunyai kaitan dengan pemilik NZ Curry House yang terkenal itu! Norhayati Berahim pun pernah menerbitkan novelnya 'Terima Kasih, Kekasih' dengan NZ, tetapi ini adalah pilihan terakhir disebabkan penerbit itu belum membuka jabatan editorial yang profesional sehingga mutu editingnya tidak berkualiti tinggi. Khabarnya pemilik Kaki Novel adalah 'pelarian' dari NZ juga!

Keenam, saudara boleh ikut jejak langkah Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir dengan membuka syarikat penerbitan sendiri dan menjadi pengarang 'self-publish'. Sudah terdengar angin-angin yang menyebut seorang lagi ratu novel cinta akan melakukan yang sama bila-bila masa sekarang.


Kemunculan NB Kara, Kaki Novel, Intens Media dan KaryaDya pastilah sedang diikuti dengan teliti oleh pemilik saham Alaf21 dan Creative kerana dari mana lagi keempat-empat penerbit baru itu akan mendapatkan manuskrip bermutu kalau bukan daripada sahabat-sahabat mereka sendiri yang kini masih menerbitkan karya mereka dengan kedua-dua gergasi itu.
Kebetulan mereka berempat semuanya adalah 'veteran' Karangkraf-Alaf21-Creative, oleh hal yang demikian memang patutlah jika mereka mempunyai network informal yang elok dengan kakitangan ketiga-tiga syarikat itu yang dapat menyalurkan banyak maklumat tentang dunia penerbitan novel cinta.



2 Komen :

At 8:21 PM, Blogger abdullahjones Berkata ...

disebabkan sibuk, saya tidak kesini, tapi dalam sibuk selalu terbatuk-batuk, rupanya nama disebut-sebut.

 
At 10:32 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Nama tu lain dari yang lain, kita gunakanlah sebagai contoh nama komersial.

Sdr ada tandatangani perjanjian dengan mana-mana pihak sehingga tak boleh guna nama itu dengan PTS-kah?

 

Post a Comment

<< Home