Penerbit Kecil Makanan Penerbit Besar
Adalah dianggarkan nilai pasaran novel cinta di negara ini sekarang bernilai sekitar RM30 – RM35 juta setahun. Maka tidak hairanlah jikalau peluang membuat keuntungan yang demikian banyak telah mendorong munculnya pemain-pemain baru dalam industri ini dan mereka menjadi pesaing kepada dua gergasi utama, Alaf21 dan Creative.
Utusan, Rythm dan Times adalah nama-nama besar yang sudah lama berada dalam industri buku tetapi ikut menceburkan diri ke dalam sektor novel cinta. Kemudian muncul pula penerbit-penerbit baru seperti NZ, Kaki Novel dan lain-lain.
Tidak cukup di situ, industri ini sekarang menyaksikan fenomena baru di mana penulis-penulis novel cinta yang terkenal ikut menubuhkan syarikat penerbitan masing-masing bagi menerbitkan dan mengedarkan karya mereka sendiri. Mereka ini dipanggil dengan istilah 'independent publisher'.
Maka timbul isu hangat berkenaan cara-cara bagaimana para penerbit hendak menjaga penulis masing-masing daripada lari sama ada ke penerbit lain ataupun membuka syarikat penerbitan sendiri.
Kata seorang editor di sebuah penerbit, “Dahulu mereka penulis kami, sekarang mereka pesaing kami. Satu hari nanti mereka mungkin melarikan penulis-penulis kami yang ada.”
Di sebalik kata-kata editor itu adalah situasi di mana berlakunya persaingan antara penerbit-penerbit baru yang cuba mencuri penulis yang sudah ada nama, manakala penerbit besar cuba menghalang penulis terkenal mereka daripada lari.
Adakah fenomena ini sihat bagi perkembangan dunia penerbitan novel cinta Melayu? Jawabnya tidak.
Kemunculan begitu banyak penerbit novel cinta akhirnya dapat merugikan semua pihak yang bergiat dalam sektor itu. Statistik menunjukkan majoriti penerbit kecil tidak dapat berkembang menjadi penerbit besar. Kecuali satu ataupun dua yang berjaya, yang lain akhirnya tutup kedai.
Apabila penerbit tutup kedai, bukan pemegang sahamnya sahaja yang menanggung kerugian, malah penulis-penulis novel cinta yang menerbitkan karya mereka dengan penerbit itu ikut menanggung kerugian dalam bentuk hutang royalti yang tidak dapat dibayar oleh penerbit.
Mana-mana 'independent publisher' yang mempunyai produk istimewa akhirnya dibeli oleh penerbit-penerbit besar. K-Publishing yang dibuka oleh sasterawan Khadijah Hashim bagi menerbitkan sendiri novel-novelnya, dibeli oleh Mahir, kemudian Mahir dibeli oleh Cerdik yang dimiliki oleh Pengerusi Rythm. Majalah “PC” dibeli oleh Karangkraf. Sasbadi sedang dalam proses dibeli oleh Dawama.
Terbaru, sudah kedengaran gosip-gosip dalam pasaran yang menyebut sebuah penerbit gergasi mungkin berjaya membeli penerbit majalah wanita Islam paling popular, milik seorang penulis novel yang terkenal.
Trend begini bukan hanya berlaku di negara ini. Ia adalah trend global. Penerbit-penerbit besar sentiasa mahu semakin membesar. Disebabkan mereka sudah mempunyai sumber kewangan yang kukuh, mereka tidak berminat memasuki sektor baru bermula dari titik kosong. Mereka lebih berminat membeli syarikat-syarikat yang sudah berjaya membangunkan produk-produk seperti yang mereka mahukan.
Adakah saudara sedang memikir-mikirkan idea hendak menerbitkan sendiri karya saudara, baik novel cinta mahupun bukan? Jikalau saudara didorong oleh motif mahu mencari kepuasan, motif itu tidak sesuai dijadikan asas membuka syarikat penerbitan.
Perniagaan mempunyai logik angkanya sendiri. Apabila logik angka itu tidak betul, perniagaan itu tidak dapat bertahan. Jumlah modal operasi minimum bagi menubuhkan syarikat penerbitan kecil adalah RM500 ribu.
2 Komen :
Ini hanya teori (mengapa Dawama perlu beli Sasbadi):
Dawama bukanlah penerbit. Jadi, untuk menjadi penerbit, Dawama perlu mempunyai anak syarikat yang mempunyai lesen utk menerbit.
Teori kenapa Dawama tidak boleh menerbit sendiri:
Dawama terikat dengan terma dan syarat penswastaan. Di mana Dawama hanyalah sebagai pre-press company, not as a publisher.
Ini hanya teori.
Mau percaya? La la la...
Ha ha.
Sdr Naga,
Nampaknya sdr tahu terma-terma kontrak penswastaan DBP-Dawama! Saya boleh agak siapa sdr sebenarnya...
Lalala...
Post a Comment
<< Home