Konflik dan Keganasan dalam Surah Yusuf
Salah satu ciri dalam karya-karya yang diterbitkan bagi bacaan remaja lelaki masa ini adalah banyaknya unsur konflik fizikal seperti perkelahian, pembunuhan dan peperangan, yang semuanya melibatkan keganasan fizikal. Ciri ini amat dominan dalam buku-buku komik, baik yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu mahupun yang dikarang oleh karyawan tempatan.
Bagaimanakah sastera Islami melihat konflik dan keganasan fizikal? Apakah kita dibenarkan menulis buku-buku yang mengandungi babak-babak ganas yang melibatkan perkelahian dan pertumpahan darah?
Untuk menjawab pertanyaan ini, dengan mengambil surah Yusuf sebagai model karya yang indah, kita cuba mengemukakan teori yang dapat menentukan hukum dan kedudukan konflik fizikal dalam novel Islami.
Konflik dan keganasan fizikal adalah realiti kehidupan. Dalam Quran terdapat cerita-cerita berkenaan pelbagai jenis konflik dan keganasan fizikal. Nabi Muhammad sendiri pergi berperang dan sahabat-sahabat beliau banyak membunuh musuh dan dibunuh oleh musuh.
Suatu ciri yang menarik dikaji pada surah Yusuf adalah aspek konflik dan keganasan fizikal. Dalam surah Yusuf terdapat banyak konflik, dan ini menunjukkan konflik adalah unsur yang wajib ada dalam karya kreatif, barulah cerita itu menjadi indah, tetapi tidak semua konflik dalam surah Yusuf itu bersifat konflik fizikal yang ganas.
Dalam suruh Yusuf, Nabi Yusuf sebagai watak utama, tidak melakukan sebarang bentuk keganasan kepada sesiapa pun. Beliau tidak berkelahi secara fizikal, tidak memiliki senjata, tidak bermain dengan senjata, tidak membunuh, dan tidak berperang.
Keganasan fizikal yang dialami oleh Nabi Yusuf berlaku 3 kali. Pertama apabila abang-abangnya mencampakkan beliau ke dalam perigi buta. Kedua, apabila Raja memenjarakan beliau selama 7 tahun atas tuduhan fitnah kononnya beliau cuba melakukan perbuatan sumbang dengan isteri majikannya sendiri. Ketiga apabila Zulaikha menarik Nabi Yusuf dari belakang sehingga bajunya terkoyak. Ketiga-tiga keganasan ini tidak melibatkan kecederaan fizikal ataupun darah beliau.
Unsur darah dalam surah Yusuf berlaku 2 kali. Pertama, pada perbuatan abang-abang Nabi Yusuf menyapukan darah binatang pada pakaian Nabi Yusuf. Kedua, pada peristiwa kawan-kawan perempuan Zulaikha terpotong jari mereka sendiri dengan pisau buah yang mereka pegang apabila mereka terpandang Nabi Yusuf.
Unsur bunuh berlaku satu kali dalam surah Yusuf, iaitu apabila salah seorang daripada dua orang banduan yang dikenali oleh Nabi Yusuf dalam penjara dihukum bunuh oleh raja.
Mengapakah dalam model satera Islami yang berdasarkan surah Yusuf keganasan fizikal dibataskan kepada 6 jenis yang di atas, ini adalah isu yang menarik dibincangkan oleh ahli-ahli teori sastera.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home