Monday, January 09, 2006

Penulis, Penerbit dan Buku: Isu Harta Sepencarian

Pada saat ini para pejuang hak-hak wanita Islam sedang hangat mengadakan pelbagai kempen berkenaan isu pindaan undang-undang keluarga Islam yang dipertikaikan sekarang.


Saudara sebagai penulis buku perlu faham sedikit sebanyak konsep HARTA SEPENCARIAN sebab isu ini ada kaitan lansung kepada saudara, dan isu ini menjadi punca rasa tidak puas hati yang amat sangat di kalangan para pejuang hak-hak wanita itu.


Di bawah undang-undang keluarga Islam Malaysia, harta yang dicipta ataupun perolehi semasa saudara berkahwin dengan isteri ataupun suami saudara, adalah HARTA SEPENCARIAN.


Buku-buku yang saudara tulis adalah harta intelektual. Harta intelektual termasuk dalam HARTA SEPENCARIAN, serupa seperti tanah, rumah, saham, kereta dan lain-lain harta tradisional.
Semua HARTA SEPENCARIAN boleh dibahagi-bahagikan antara bekas suami dan bekas isteri apabila berlaku perceraian.


Sebagai penulis, di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, apabila berlaku perceraian, baik bekas suami mahupun bekas isteri saudara, mereka berhak menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku karangan saudara. Justeru, jikalau saudara penulis perempuan, suami saudara memiliki sebahagaian daripada royalti buku saudara, sampai tamat tempoh hakcipta karya saudara itu – sebagaimana jika saudara pengarang lelaki, isteri saudara juga memiliki sebahagian daripada royalti buku saudara.


Konsep HARTA SEPENCARIAN tidak ada dalam Quran ataupun sunah. Ia adalah konsep yang diambil daripada adat orang Melayu, khususnya adat masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Aturan adat Melayu Negeri Sembilan itu kemudian dijadikan undang-undang keluarga Islam di negara kita.


Konsep HARTA SEPENCARIAN dianggap dapat menjaga kepentingan pihak bekas-bekas isteri, justeru isu ini diperjuangan oleh golongan pejuang hak-hak wanita. Sekarang pejuang-pejuang itu mahu supaya jikalau suami mahu berpoligami, sebahagian HARTA SEPENCARIAN hendaklah diserahkan lebih dahulu kepada isteri yang sudah ada sebelum dibenarkan bernikah baru.


Isu HARTA SEPENCARIAN ini boleh membabitkan para penerbit sebab penerbit mengeluarkan cek-cek royalti bagi buku-buku saudara. Jikalau bekas suami saudara membawa ke mahkamah judul-judul buku saudara dan beliau berjaya meminta mahkamah mengarahkan sebahagian royalti itu dibayar kepada beliau, isu ini tentu memeningkan penerbit. Begitu juga jikalau bekas isteri saudara berjaya melakukan yang sama.


Jikalau buku-buku saudara tidak laku, bekas suami ataupun bekas isteri saudara mungkin tidak berminat menuntut hak HARTA SEPENCARIAN ke atas buku-buku saudara. Tetapi bagaimana jikalau jumlah jualan buku-buku saudara itu adalah satu kategori dengan novel-novel cinta Norhayati Berahim, Fauziah Ashari, Aina Emir dan lain-lain yang dapat membawa pulangan ratusan ribu ringgit?


Jikalau saudara menjadi penerbit, ataupun saudara memiliki saham dalam syarikat penerbitan, syarikat dan saham saudara itu adalah HARTA SEPENCARIAN, oleh itu bekas suami ataupun bekas isteri saudara berhak ke atas sebahagian saham saudara itu.


Jikalau syarikat penerbitan milik saudara kecil dan menanggung banyak hutang, barangkali bekas suami ataupun bekas isteri saudara tidak berminat menuntut haknya, tetapi bagaimana jikalau syarikat saudara itu besar dan banyak membuat keuntungan?


Di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, baik bekas suami mahupun bekas isteri, kedua-dua pihak berhak membuat tuntutan ke atas apa-apa harta yang diperolehi semasa mereka masih berkahwin, tanpa mengira atas nama siapa harta itu didaftarkan, baik atas nama suami mahupun nama isteri.


Dari satu segi, tujuan asal konsep HARTA SEPENCARIAN ini diperkenalkan adalah bagi menjaga kepentingan pihak bekas isteri, yang lazimnya tidak mempunyai harta sebanyak pihak bekas suami. Tetapi dalam sesetengah situasi, konsep ini boleh mencipta kesan gergagi dua mata, ke kiri makan, ke kanan pun makan, sebab ia boleh lebih menguntungkan bekas isteri, ia juga boleh lebih menguntungkan bekas suami.


Kesan gergaji dua mata ini dapat berlaku apabila ditinjau dari sudut perebutan harta benda. Konsep HARTA SEPENCARIAN ini boleh lebih merugikan mana-mana pihak yang lebih kaya daripada bekas suami ataupun bekas isterinya.


Peraturan adat HARTA SEPENCARIAN ini boleh menguntungkan segolongan bekas isteri sahaja, iaitu mereka yang tidak banyak harta. Bagi golongan bekas isteri yang lebih kaya daripada bekas suami mereka, adat ini lebih menguntungkan bekas suami mereka.


Jikalau saudara seorang penulis wanita, dan jualan buku-buku saudara menjadikan saudara lebih kaya daripada bekas suami saudara, undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini lebih menguntungkan bekas suami saudara. Begitu juga jikalau saudara seorang penerbit wanita yang kaya-raya, konsep HARTA SEPENCARIAN ini juga lebih menguntungkan bekas suami saudara.


Lazimnya lelaki mempunyai pendapatan yang lebih banyak daripada perempuan, oleh itu banyak harta didaftarkan di bawah nama mereka. Undang-undang HARTA SEPENCARIAN memberi hak yang sama kepada lelaki dan perempuan ke atas harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan.


Disebabkan undang-undang HARTA SEPENCARIAN mengizinkan bekas isteri menuntut sebahagian daripada harta yang didaftarkan di bawah nama suami, maka itulah sebabnya para pejuang hak-hak wanita melihat undang-undang ini selaras dengan matlamat melindungi kepentingan bekas-bekas isteri.


Quran dan sunah mengizinkan baik penulis perempuan, mahupun penerbit perempuan, menulis dan membuat sebanyak-banyak harta, dan menyimpan hartanya itu bagi dirinya, baik sebelum mahupun selepas berlaku perceraian. Suami ataupun bekas suami tidak boleh menuntut isteri ataupun bekas isteri menyerahkan apa yang menjadi hartanya kepada suami ataupun bekas suaminya.


Sekarang di Malaysia, ada undang-undang lain, yang berasal daripada amalan adat HARTA SEPENCARIAN masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, yang mengizinkan bekas-bekas suami menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku, ataupun saham syarikat penerbitan milik bekas isteri mereka, yang diperolehi dalam tempoh perkahwinannya.


Bagaimana jikalau saudara seorang penulis perempuan, ataupun penerbit perempuan, dan saudara lebih kuat berkerja daripada bekas suami saudara, dan saudara juga lebih pandai mencipta harta kekayaan daripada bekas suami saudara, pelaksanaan undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini, yang tidak ada dalam Quran dan sunah, yang memberi hak kepada bekas suami saudara menuntut sebahagian royalti buku-buku saudara, ataupun sebahagian saham syarikat penerbitan saudara, adakah saudara akan menerima konsep ini dengan dada lapang?


Mengapakah barangkali, baik Quran mahupun sunah, kedua-duanya tidak memperkenalkan hukum yang menyerupai konsep adat HARTA SEPENCARIAN bagi melindungi kebajikan bekas-bekas isteri - masakan Allah dan Nabi Muhammad SAW terlupa. Allah-lah yang lebih tahu.




7 Komen :

At 11:18 AM, Blogger Nisah Haji Haron Berkata ...

Puan Ainon dan pembaca sekalian,

Konsep Harta Sepencarian yang ditulis oleh Puan Ainon itu memang ada benarnya. Tetapi apabila menyentuh tentang konsep pembahagian itu, kadar yang diambil oleh mahkamah bergantung kepada takat sumbangan pihak yang mengerjakan harta tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya isteri merupakan penulis yang mengusahakan penulisan karyanya, beliau mendapat bahagian yang lebih besar daripada suaminya. Begitu juga sebaliknya.

Penulis amat digalakkan menyimpan bukti-bukti pemilikan harta ini.Walaupun ia harta intelek, ia masih lagi harta boleh alih yang dikatakan oleh Puan Ainon tadi.

Sekalipun, pihak yang tidak memberi sebarang sumbangan dalam penulisan (misalnya, isteri tiada sumbangan kewangan ketika suaminya menghasilkan karya) masih lagi ada hak. Apabila isteri tersebut menjaga makan minum suami ketika dia menulis, ataupun memastikan anak-anak diurus supaya suami dapat menulis ataupun isteri itu menjadi satu simbol ketenangan supaya suami dapat menulis, menjadi sumbangan daripada pihak isteri tersebut secara tidak langsung. Isteri boleh menuntut haknya jika suami itu meninggal dunia ataupun bercerai.

Jika suami meninggal dunia, isteri berhak menuntut harta sepencarian terlebih dahulu dan kemudiannya menuntut hak dari segi faraid pula.

Sekian, sekadar menambah. Tahniah kepada Puan Ainon kerana mengangkat isu ini dalam tulisannya kali ini.

ikhlas,
Nisah Hj Haron
Seremban.

 
At 2:23 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Puan Nisah, terima kasih banyak-banyak kerana memberi penerangan tambahan berkenaan isu yang penting ini. Penulis-penulis wanita perlu mengetahui lebih banyak tentang apa jua undang-undang yang berkaitan secara langsung dan tidak langsung dengan harta intelektual mereka.

Sebagai pemilik banyak harta intelektual (dan juga pemegang saham sebuah syarikat penerbitan) saya mengikuti isu ini dengan serius dan hati yang berbelah bagi.

DBP dan GAPENA patut mengadakan majlis penerangan berkenaan isu ini dan saya syorkan puan menjadi salah seorang panelnya.

 
At 5:28 PM, Blogger Nisah Haji Haron Berkata ...

Puan Ainon,

Saya sangat berbesar hati atas cadangan tersebut. Saya memang mencari satu platform bagi menyuarakan tentang kesedaran hak cipta di kalangan penulis ini. Setakat ini, saya hanya mendapat ruang dalam majalah Tunas Cipta, tetapi ia sekadar maklumat asas untuk penulis baru/muda (pun, masih tidak terlewat kerana rata-rata penulis hari ini, masih sifar-pengetahuan tentang harta intelektual ini).

Sekiranya pihak PTS sendiri ingin mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis seperti ini, insya-Allah, saya akan datang membantu.

Saya percaya, ilmu yang sangat sedikit ini bukanlah milik saya. Tetapi untuk dikongsi bersama. Menjadi fardhu kifayah kepada saya, malah.

 
At 7:02 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Puan Nisah,

Saya pernah bercakap dengan Pengarah Sastera DBP, dan juga kepada Tan Sri Gapena, supaya adakan majlis penerangan berkenaan hakcipta dan harta intelek. Nampaknya belum ada kedengaran ura-ura DBP ataupun Gapena hendak buat majlis itu.

Kalau PEN mahu buat di Perpustakaan Seremban, saya sanggup turut jadi panel, wakil penerbit. Tentu sekali saya akan perjuangkan isu klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang amat merugikan kaum penulis.

Isu ini mesti kita uar-uarkan dalam akhbar, supaya para penulis dan para penerbit Malaysia saling menjaga hak-hak masing-masing dengan cara-cara yang seimbang.

 
At 6:49 AM, Blogger abdullahjones Berkata ...

selamat hari raya.

 
At 3:56 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Nak buat kat seremban ?, okeh cantik .Saya ni lelaki .Boleh join tak ? ( hahahaha cam bias je bunyi nye tak ?)

 
At 4:07 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Panaharjuna,
Sdr tak perlu risau bab-bab harta sepencarian tu, tak ada sesiapa yang nak tuntut dari Mr Solo macam saudara.

Alamak! Buku sdr "Sahabat Kole Kacang" tu cun-melecun-lah!

 

Post a Comment

<< Home