Wednesday, January 04, 2006

Struktur Plot dalam Novel Islami

Salah satu isu yang lazimnya menjadi kesukaran bagi penulis-penulis baru adalah bagaimana hendak menyusun plot cerita. Dalam erti kata lain, apakah episod yang hendak digunakan bagi membuka cerita?


Dalam model novel Islami yang didasarkan pada surah Yusuf, susunan plot adalah mudah, iaitu berdasarkan kronologi kejadian. Kejadian yang awal diletakkan di depan, dan kejadian terakhir diletakkan di hujung novel.


Dalam surah Yusuf, urutan peristiwa berkembang selari dengan peningkatan usia Nabi Yusuf. Peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa Nabi Yusuf masih kecil diceritakan lebih dahulu, diikuti oleh peristiwa-peristiwa apabila beliau menjadi pemuda dewasa, dan akhirnya peristiwa-peristiwa semasa beliau menjadi menteri perbendaharaan Mesir.


Plot cerita dalam surah Yusuf tidak disusun culang-caling, sebentar melompat ke hadapan, sebentar melompat undur ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Tidak ada penggunaan teknik flashback ataupun flash-forward ataupun parallel plot.


Berikut adalah urutan peristiwa dalam kisah Nabi Yusuf.

  1. Si kecil Yusuf memberitahu ayahnya, Nabi Yaakub, dia bermimpi 11 bintang, matahari dan bulan tunduk kepadanya.

  2. Ayahnya memberitahu Yusuf supaya merahsiakan mimpinya itu daripada pengetahuan abang-abangnya.

  3. Abang-abang Yusuf berpakat hendak membunuh Yusuf.

  4. Abang-abang Yusuf memujuk ayah mereka supaya membenarkan Yusuf ikut pergi bermain2.

  5. Abang-abang Yusuf mencampakkan Yusuf ke dalam perigi.

  6. Abang-abang Yusuf pulang dengan membawa baju Yusuf yang dilumuri darah palsu.

  7. Sekumpulan pengembara lalu dan menghulurkan timba ke dalam perigi. Yusuf bergantung pada tali timba.

  8. Yusuf dijual di pasar sebagai hamba.

  9. Yusuf dibeli oleh al-Aziz dan dibawa pulang lalu diserahkan kepada isterinya, Zulaikha, supaya dijaga.

  10. Yusuf dewasa dan isteri majikannya jatuh cinta kepadanya.

  11. Nabi Yusuf diperangkap oleh Zulaikha supaya masuk kamarnya.

  12. Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.

  13. A-Aziz tiba-tiba muncul di depan pintu.

  14. Zulaikha berdusta kepada al-Aziz.

  15. Saksi memberitahu al-Aziz tentang di mana koyaknya baju Nabi Yusuf.

  16. Zulaikha mengadakan jamuan untuk wanita-wanita Mesir.

  17. Wanita-wanita Mesir terpotong jari mereka sendiri apabila terpandang Nabi Yusuf.

  18. Al-Aziz berjaya memenjarakan Nabi Yusuf.

  19. Di dalam penjara, Nabi Yusuf berkenalan dengan 2 orang rakan banduan.

  20. Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi 2 orang banduan itu.

  21. Banduan pertama dihukum salib. Banduan kedua dibebaskan. Nabi Yusuf meminta banduan kedua menceritakan nasibnya tetapi banduan itu terlupa.

  22. Raja Mesir bermimpi.

  23. Banduan kedua teringat kpd Nabi Yusuf lalu pergi menemuinya lalu meminta Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi Raja.

  24. Nabi Yusuf menerangkan makna mimpi Raja kepada bekas banduan itu.

  25. Banduan menerangkan takbir mimpi yang diberi oleh Nabi Yususf kepada Raja.

  26. Raja Mesir menyuruh Nabi Yusuf dibawa ke hadapannya.

  27. Nabi Yusuf bertanya apa khabar perempuan2 yang tangannya luka.

  28. Raja Mesir menyiasat apa yang sebenarnya terjadi.

  29. Zulaikha mengaku dia bersalah dan Nabi Yusuf tidak berdosa.

  30. Nabi Yusuf memaafkan Zulaikha dan al-Aziz.

  31. Raja Mesir melantik Nabi Yusuf menjadi penasihat.

  32. Nabi Yusuf meminta dia dilantik menjadi penjaga Perbendaharaan negeri Mesir.

  33. Kemarau panjang berlaku sebagaimana yang ditakbirkan dalam mimpi Raja Mesir.

  34. Abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir menemuinya dengan tujuan hendak membeli makanan. Ayah mereka tidak membenarkan Bunyamin ikut pergi.

  35. Nabi Yusuf meminta abang-abangnya datang lagi dengan membawa Bunyamin, kalau tidak mereka tidak boleh membeli makanan lagi.

  36. Nabi Yusuf menyuruh pembantu memasukkan barang tukaran makanan ke dalam buntil makanan abang-abangnya.

  37. Abang-abang Nabi Yusuf memujuk ayahnya supaya membenarkan Bunyamin ikut mereka ke Mesir pada masa akan datang.

  38. Mereka membuka buntil makanan dan mendapati barang tukaran mereka dikembalikan oleh Nabi Yusuf.

  39. Abang-abang Nabi Yusuf bersumpah akan menjaga Nabi Bunyamin.

  40. Abang-abang Nabi Yusuf pergi ke Mesir membawa Nabi Bunyamin.

  41. Nabi Yusuf memperkenalkan dirinya kepada Nabi Bunyamin sahaja.

  42. Nabi Yusuf menyuruh dimasukkan piala minum raja dalam buntil unta Nabi Bunyamin.

  43. Nabi Yusuf memeriksa buntil Nabi Bunyamin dan menjumpai piala itu.

  44. Nabi Yusuf menghukum Nabi Bunyamin ditinggalkan di Mesir.

  45. Abang-abang Nabi Yusuf merayu salah seorang daripada mereka mengambil tempat Nabi Bunyamin tetapi ditolak oleh Nabi Yusuf.

  46. Abang sulung Nabi Yusuf tidak mahu pulang dan menyuruh yang lain sahaja pulang.

  47. Abang-abang Nabi Yusuf yang lain pulang dan melaporkan apa yang berlaku kepada ayah mereka.

  48. Ayah Nabi Yusuf menjadi buta disebabkan banyak menangis.

  49. Ayah Nabi Yusuf menyuruh anak-anaknya pergi semula ke Mesir dan mengintip apa cerita Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.

  50. Abang-abang Nabi Yusuf pergi menemuinya bagi membeli makanan lagi.

  51. Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya kepada abang-abangnya.

  52. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku mereka berdosa.

  53. Nabi Yusuf memaafkan abang-abangnya.

  54. Nabi Yusuf menyuruh mereka pulang dengan membawa pakaiannya dan menyuruh supaya pakaiannya itu disapukan pada muka ayahnya.

  55. Abang-abang Nabi Yusuf belum tiba tetapi ayahnya sudah tercium bau Nabi Yusuf.

  56. Baju Nabi Yusuf disapukan pada muka ayahnya dan dia dapat melihat semula.

  57. Abang-abang Nabi Yusuf meminta ampun dariada ayahnya.

  58. Ayah Nabi Yusuf mengampunkan anak-anaknya.

  59. Abang-abang Nabi Yusuf membawa ayah dan ibu mereka ke Mesir berjumpa Nabi Yusuf.

  60. Nabi Yusuf mengajak ayah dan ibunya duduk di sisinya. Mereka semua tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf. (Inilah takbir mimpi Nabi Yusuf pada pembukaan cerita, yakni 11 bintang adalah 11 orang adik beradiknya, matahari adalah ayahnya dan bulan adalah ibunya.)


Dalam surah Yusuf, penutup cerita mempunyai kaitan langsung dengan pembukaan cerita. Cerita dibuka dengan mimpi dan diakhiri dengan mimpi itu menjadi realiti.


Plot surah Yusuf disusun umpama kaitan mata-mata rantai pada seutas kalung, ataupun ia bulat umpama ular yang menggigit ekornya.