Monday, April 10, 2006

Bahasa Asing dalam Cerita Melayu


Isu bahasa asing dalam novel Melayu banyak terdapat dalam buku-buku yang diterbitkan, baik oleh DBP, apatah lagi oleh penerbit lain. Sesetengah penerbit menerima unsur bahasa asing berdasarkan hujah bahawa itu adalah cermin keadaan sebenar. Pandangan ini adalah pandangan aliran realisme.


Menurut aliran realisme, jika dalam kehidupan sebenar sememangya watak yang digambarkan itu bercakap menggunakan bahasa Melayu bercampur Inggeris, maka dalam novel, dialog begitu boleh diterima.


Bagaimanakah sikap kita sebagai penulis dan editor terhadap unsur-unsur bahasa asing?


Di dalam surah Yusuf, seluruh kisah itu dituliskan dalam bahasa Arab Tinggi. Tidak terdapat ayat-ayat dialog yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa asing.


Dalam sudut pandang surah Yusuf, karya yang indah adalah karya yang ditulis menggunakan 100% bahasa tinggi. Justeru, kita tidak menerima ayat-ayat yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa basahan, bahasa pasar, ataupun bahasa slanga.


Jika saudara menulis novel, sekiranya ada watak bukan Melayu dalam cerita itu, bagaimanakah cara menyampaikan dialog watak-watak seperti itu?

  1. Jangan tulis sebagaimana yang mereka ucapkan. Sebagai contoh:

    a. “Lu sulah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (SALAH)

    b. “Darling, it's okey bukan, kalau kita tak jadi kahwin?” kata Rozie kepada Amran. (SALAH)

    c. “Ayah, happy birthday!” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (SALAH)

  2. Tulis semula dialog itu menggunakan bahasa Melayu Tinggi. Sebagai contoh:

    En. Budin sudah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (BETUL)

    Kekasihku, engkau tidak terkejut bukan, jika kita tidak jadi berkahwin?” kata Rozie kepada Amran. (BETUL)

    Selamat menyambut hari jadi, ayah,” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (BETUL)

  3. Lihat pada konteks ceritanya. Lihat contoh ini:

    a. “Awak mahu limau?” tanya Ah Chong kepada Budin. “Rimau? Awak gilakah?” kata Budin. (BETUL)

    b. “Tuan hendak ke mana?” gadis kaunter tiket itu bertanya kepada palancong Arab itu. “Bitalin,” jawab si pelancong. Gadis itu terpinga-pinga. “Bi-ta-lin!” lelaki Arab itu mula hilang sabar. Kemudian lelaki Arab itu mengeluarkan pen dan buku notanya lalu menuliskan “petaling” di atas kertas, barulah gadis itu sedar orang Arab tidak pandai mengucapkan sesetengah bunyi dalam bahasa Melayu. (BETUL)


Unsur bahasa asing yang menjadi isu pokok dalam cerita sahaja yang mesti dituliskan dalam cerita, dengan disertai penerangannya.