Update Pasaran Buku: Fenomena MyNews.com
MyNews.com adalah fenomena terbaru yang muncul dalam industri pe-retail-an buku, majalah dan surat khabar di negara ini.
Maklumat pasaran yang kita perolehi mendapati pada masa ini terdapat sekitar 70 buah kedai MyNews.com di Lembah Kelang. Gosip-gosip yang kita dengar mengatakan jumlah itu akan naik kepada 80 buah sebelum hujung tahun 2006, dan akan terus naik serta merebak ke bandar-bandar madya di seluruh Malaysia.
Fenomena MyNews.com adalah ancaman terbesar yang sedang dihadapi oleh kedai-kedai buku kecil indie tradisional kepunyaan Mamak yang selama ini menjadi pemain utama sektor retail majalah dan surat khabar dalam kompleks. Di beberapa buah kompleks kita dapati ruang yang dulu disewa oleh kedai majalah Mamak sudah diambil alih oleh MyNews.com.
MyNews.com hanya membuka rangkaian cawangannya di dalam bangunan-bangunan shopping kompleks, airport dan kompleks pejabat sahaja, dengan target pembelinya golongan kelas menengah urban.
Rangkaian MyNews.com hanya menjual buku-buku dan majalah yang laris sahaja. Kiraan rambang yang kita jalankan di beberapa buah cawangannya mendapati rangkaian itu mempamerkan lebih 200 judul majalah Melayu, Inggeris dan Cina.
Kiraan yang kita buat di rak-rak bukunya menunjukkan ruang yang disediakan untuk buku cuma muat bagi meletakkan 60 buah judul bagi semua jenis buku, bukan hanya buku-buku Melayu.
Buku-buku Melayu yang dijual di MyNews.com pula adalah novel-novel cinta, dengan didominasi oleh judul-judul terbitan Creative dan Alaf21. Kita percaya, situasi ini berlaku disebabkan book purchaser rangkaian itu tidak mempunyai maklumat berkenaan pelbagai kategori buku Melayu yang sudah mula terdapat dalam pasaran, selain novel-novel cinta.
Maklumat yang kita perolehi juga mendapati, disebabkan faktor ruang yang amat terhad, setiap bulan pengurusan MyNews.com meletakkan 5 judul buku baru sahaja bagi menggantikan 5 judul yang sudah turun jualannya. Ini adalah cabaran utama bagi para penerbit tempatan, yakni bagaimana mereka dapat meletakkan judul-judul terbitan masing-masing di rak-rak rangkaian itu.
Bagi penerbit-penerbit indie, jika saudara hendak ikut menerbitkan novel-novel cinta ala-ala Alaf21, bagaimakah peluang saudara mahu bertanding dengan Creative dan Alaf21 bagi mendapatkan ruang untuk novel saudara itu dalam rangkaian kedai MyNews.com, memandangkan setiap bulan antara 15 hingga 20 judul novel baru diterbitkan oleh pelbagai penerbit?
Jika saudara hendak masuk ke dalam sektor majalah pula, maklumat yang kita perolehi menunjukkan, bagi majalah baru muncul, pengurusan MyNews.com meletakkan majalah baru selama 3 bulan berturut-turut sahaja. Jika dalam masa 3 bulan majalah baru itu laris terjual maka MyNews.com akan meneruskan langganannya, jika tidak, tidaklah.
Sewaktu sedang menjalankan tinjauan, kita mendapati majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan tidak terjual dalam rangkaian MyNews.com. Mengapa, agaknya?
2 Komen :
Haha. MyNews.com ni sapa punya?
Sejauh mana potensi PTS untukmuncul di Mynews?
Post a Comment
<< Home