Bagaimana Buku Saudara Diekspot
Kerja-kerja mengekspot buku saudara ke negara-negara lain adalah urusan penerbit saudara kerana lazimnya dalam perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani itu sudah terkandung klausa di mana saudara bersetuju membenarkan penerbit saudara mengambil langkah-langkah mengeksploitasi potensi nilai ekonomi karya saudara itu di luar negara.
Semua penerbit berminat mengekspot lesen buku-buku terbitannya ke negara lain kerana daripada kejayaan setiap buku yang diekspotnya pihak penerbit mendapat perolehan daripada bahagian royalti yang dibayar oleh pelesen.
Dalam amalan perdangangan buku antarabangsa, lazimnya nilai royalti yang dibayar oleh pelesen adalah 7%. Pembahagian antara penerbit dan penulis adalah 40% – 60% daripada jumlah yang diterima daripada pelesen.
Strategi paling popular bagi memasarkan lesen-lesen penerbitan buku adalah dengan membuka booth dalam pesta-pesta buku:
Pesta Buku Sedunia: Contoh pameran seperti ini adalah Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt, Jerman, ataupun Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa di Bologna, Itali. Jika penerbit itu yakin dia dapat menjual lesennya kepada penerbit dari berbagai-bagai negara, langkah membuka booth di kedua-dua pesta ini adalah pesta yang paling sesuai tetapi kosnya amat tinggi. Persatuan-persatuan penerbit nasional lazimnya menyewa booth untuk dikongsi oleh ahli-ahlinya.
Pesta Buku Nasional: Setiap negara mengadakan pesta buku masing-masing, jadi sekiranya penerbit mahu mengekspot lesennya ke negara itu ia boleh membuka booth di pesta peringkat lokal. Sebagai contoh, jika penerbit yakin dia dapat menjual lesen buku-bukunya ke Indonesia maka dia membuka booth dalam Pesta Buku Antarabangsa Jakarta yang diadakan 2 kali setiap tahun. Selain daripada itu mereka juga mengadakan Pesta Buku Islam Jakarta sekali setiap tahun.
Kos membuka booth di pesta-pesta buku adalah tinggi dan lazimnya pengarang tidak mampu melakukannya dengan modal sendiri.
.
5 Komen :
ekspot atau eksport? saya pening.
Tuan Rastom, 'ekspot' dan 'impot'. Di Indonesia 'ekspor' dan 'impor'. Dalam blog kita, kita boleh guna ejaan pilihan sendiri!
Puan Ainon, asalamualaikum. Macam mana kita nak tahu penerbit di Indonesia tak tipu kita? Terima kasih.
Sdr Anonymous, ada beberapa cara kita dapat menguruskan risiko ditipu.
Pertama pilih penerbit di Indonesia yang reputasinya baik.
Kedua, kenakan syarat di mana pelesen terus membayar jumlah royalti bagi jumlah naskah yang akan dicetak oleh pelesen itu.
ketiga, kalau boleh tambah, lantik peguam yang berpengalaman bidang hakcipta..mungkin kos akan bertambah. hubungi saya kalau mau khidmat begitu :-)
Post a Comment
<< Home