Friday, August 18, 2006

Laman Rasmi dan Bisnes Buku

Awal bulan ini, sewaktu saya masuk supermarket buku GRAMEDIA di Bandung, saya gerun melihat banyaknya judul terjemahan dalam bahasa Indonesia, dan banyaknya nama-nama penerbit baru muncul yang menerbitkan buku-buku terjemahan yang tebal dan mahal.

Saya juga gerun melihat ramainya orang dalam supermarket buku itu pada hari Ahad.

Antara tujuan saya memasuki kedai-kedai buku utama di Bandung adalah bagi memeriksa sendiri buku-buku PTS yang sudah dilesenkan dan diterbitkan oleh MIZAN sebagai edisi Indonesia.

Pada suatu masa dahulu, urusan hendak mendapatkan lesen hakcipta terjemahan buku-buku penerbit luar negara adalah amat sukar dan mahal sehingga hanya penerbit besar seperti DBP dan Penerbit Oxford sahaja yang berupaya mendapatkan lesen hakcipta terjemahan.

Pada masa itu DBP terpaksa menghantar pegawainya ke pesta-pesta buku antarabangsa dan pergi ke gerai penerbit-penerbit luar negara itu bagi menemui pegawai undang-undang dan hakciptanya, dan berunding tentang lesen menterjemah.

DBP juga perlu mempunyai pegawai khas, lazimnya dia berkelulusan undang-undang, bagi menguruskan surat menyurat dan perjanjian lesen dan hak penerbitan.

Kekangan-kekangan itu menyebabkan dua kesan negatif ke atas industri buku:

a. Industri terjemahan berkembang amat lembap.

b. Kegiatan mencuri hakcipta berleluasa, seperti yang penah berlaku di Indonesia.

Pada hari ini, internet membolehkan penerbit mendapatkan lesen hakcipta dengan amat pantas. Penerbit tidak perlu pergi ke pesta-pesta buku antarabangsa. Penerbit tidak perlu mengambil pegawai lulusan undang-undang bagi menguruskan surat menyurat pelesenan.

Bukalah sahaja laman web penerbit luar negara itu dan terus tulis permohonan bagi mendapatkan lesen dan hakcipta penerbitan mana-mana judul buku yang dimahukan.

Dengan membuka laman web korporat saudara, penerbit luar negara itu sudah dapat menilai sama ada mereka patut menerima ataupun menolak permohonan saudara disebabkan laman web saudara menceritakan besar ataupun kecilnya bisnes saudara.

Melaburlah dalam pembinaan laman web yang berkualiti apabila saudara mahu terjun ke dalam sektor buku terjemahan.

Walaupun penerbit luar negara itu tidak tahu membaca web Melayu, tetapi hanya dengan meng-klik-klik web saudara itu mereka tahu kualiti bisnes penerbitan saudara.


.