Terbit Buku Kulit Tebal
Jika saudara hendak menerbitkan buku kulit tebal, barangkali saudara hendak tahu berapakah jumlah unit yang optimum saudara terbitkan dan bagaimana cara menjualnya.
Umumnya, buku-buku kulit tebal dibeli oleh perpustakaan. Pembeli individu bukan sasaran utama buku-buku kulit tebal disebabkan harga jualan edisi kulit tebal adalah sekitar RM10 lebih mahal. Oleh itu buku-buku kulit tebal Melayu sangat perlahan jualannya dalam kedai-kedai buku.
Jumlah perpustakaan awam di negara ini adalah sekitar 400 buah, maka 400 buah adalah jumlah yang selamat. Ini bermakna, jika saudara mencetak 2 ribu naskhah, beritahu pencetak itu saudara mahu 400 daripadanya dibuat kulit tebal.
Kos membuat kulit tebal adalah sekitar antara RM2 – RM3 ringgit lebih tinggi daripada kulit lembut, berdasarkan jenis-jenis kulit tebal itu.
Jika saudara hendak menerbitkan buku kulit tebal, dua faktor yang perlu diambil kira adalah:
(a) Adakah saudara dapat menjual buku itu dalam kedai-kedai elitis seperti rangakaian MPH dan KINOKUNIYA, sebab hanya pengunjung kedai-kedai elitis yang sedia membeli buku-buku mahal. Faktor ini menyebabkan kedai-kedai buku kecil tidak mahu mempamerkan buku-buku kulit tebal sebab ia merugikan ruang pameran dalam kedai.
(b) Adakah saudara dapat membekalkan buku saudara kepada perpustakaan-perpustakaan awam, sebab ia dilakukan melalui proses tender dan hanya kontraktor buku yang berdaftar dengan kementerian kewangan sahaja dapat membekalkan buku-buku ke perpustakaan.
Semua penulis ingin bukunya diterbitkan sebagai buku kulit tebal disebabkan prestij yang dikaitkan dengan buku-buku kulit tebal. Bagi penulis, kepuasan membaca namanya tercetak pada edisi kulit tebal adalah ibarat mempunyai Rolls Royce di halaman rumah.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home